Pelajar kolej tidak mengaku rogol remaja perempuan

Tertuduh ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret Kemaman pada Rabu atas dakwaan merogol gadis bawah umur.
Tertuduh ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret Kemaman pada Rabu atas dakwaan merogol gadis bawah umur.
A
A
A

KEMAMAN - Seorang pelajar kolej mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, pada Rabu atas tuduhan merogol remaja perempuan berusia 13 tahun dalam kejadian di sebuah rumah di daerah ini pada Februari lalu.

Tertuduh, Muhamad Zulhilmi Zainal Abidin, 18, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu sekitar jam 1 tengah hari hingga 4 petang di sebuah rumah dalam daerah Kemaman pada 7 Februari lalu.

Tertuduh yang beralamat di Paka, Dungun didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak sampai 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,500 oleh seorang penjamin dan mengenakan syarat tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa serta keluarga mangsa sehingga kes selesai dibicarakan.

Mahkamah turut menetapkan sebutan semula kes itu pada 5 April depan.

Pendakwaan kes itu dijalankan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Azlizawani Adenan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.