Aminolhuda mahu perluas kewujudan perpustakaan komuniti

Aminolhuda (kiri) pada sidang media di Perbadanan Perpustakaan Awam Johor, hari ini.
Aminolhuda (kiri) pada sidang media di Perbadanan Perpustakaan Awam Johor, hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor berhasrat untuk memperluaskan kewujudan perpustakaan komuniti bagi kawasan luar bandar di negeri ini, untuk kegunaan masyarakat setempat.

Exco Hal Ehwal Agama dan Pendidikan, Aminolhuda Hasan berkata, perpustakaan komuniti dihasratkan itu akan mengambil contoh seperti yang diwujudkan di DUN Parit Yaani.

Menurutnya, selain menjadi lokasi untuk masyarakat meraih ilmu pengetahuan dengan budaya membaca, perpustakaan komuniti itu juga menjadi pusat sehenti bagi tujuan lain.

"Pertama, ia sebagai perpustakaan untuk orang ramai membaca dan mendapatkan ilmu pengetahuan. Keduanya, tetapi pada masa sama terdapat juga pusat khidmat masyarakat di sana.

"Maksudnya ditempatkan wakil rakyat untuk mendekati masyarakat. Masyarakat boleh mendapatkan maklumat terkini berkaitan kerajaan selain memohon bantuan," katanya pada sidang media di Perbadanan Perpustakaan Awam Johor di sini hari ini.

Aminolhuda berkata, fungsi ketiga adalah terdapatnya pusat khidmat wanita yang menjadi wadah kepada golongan tersebut belajar pelbagai ilmu atau kemahiran seperti jahitan.

"Saya merancang untuk bekerjasama dengan Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) di bawah (porfolio) YB Liow Cai Tung," katanya.

Beliau berkata, perpustakaan komuniti itu akan mengambil konsep Al-Huda Toy Library di DUN pentadbirannya iaitu Parit Yaani.

Artikel Berkaitan:

"Ini bukan benda baharu di Eropah atau negara maju. Konsep 'toy library' ini saya usahakan dan sudah memasuki tahun ketiga pada tahun ini. Saya sedang merancang bersama pihak Perbadanan Perpustakaan Awam Johor.

"Mudah-mudahan, pihak swasta juga dapat memberikan sokongan untuk mewujudkan perpustakaan komuniti ini mungkin dalam bentuk tanggungjawab sosial," katanya.

Pada sidang media tersebut, Aminolhuda turut mengajak masyarakat di Johor untuk menjayakan kempen Jom Baca Bersama 10 Minit pada 23 April ini.

Kempen tersebut adalah usaha menggalakkan masyarakat berhenti seketika daripada melakukan sebarang aktiviti atau pekerjaan pada jam 11 pagi, bagi meluangkan masa membaca selama 10 minit.