Baju di dobi layan diri pun kena curi

Rakaman CCTV jelas menunjukkan seorang lelaki melarikan kesemua pakaian di dalam mesin pengering di sebuah dobi layan diri di Kuala Ibai. Gam,bar kecil: Abdul Rahim Md Din
Rakaman CCTV jelas menunjukkan seorang lelaki melarikan kesemua pakaian di dalam mesin pengering di sebuah dobi layan diri di Kuala Ibai. Gam,bar kecil: Abdul Rahim Md Din
A
A
A

KUALA TERENGGANU - "Baju pun nak 'rembat' ke? Baju biasa saja bukan berjenama pun, tapi saya sedih sebab semua kena beli baharu. Bukan murah-murah," kata mangsa baju dicuri di sebuah kedai dobi layan diri di Kuala Ibai, di sini.

Dalam kejadian antara jam 2.50 petang hingga 3.45 petang, Khamis lalu, wanita dari Taman Adis Indah, Jalan Tok Adis di sini, mendapati semua pakaian yang ditinggalkan untuk dikeringkan di kedai dobi berkenaan 'ghaib' dipercayai dilarikan seorang lelaki tidak dikenali.

Sukinah Zulkifli, 37, berkata, dia menyedari kesemua pakaian yang dikeringkan di kedai dobi itu hilang sebaik datang semula untuk mengambilnya kira-kira 30 minit kemudian.

“Kejadian berlaku tu sekejap sangat, sebab lepas saya masukkan baju untuk dikeringkan, saya ke kedai sebelah dan ambil anak sekolah. Bila datang balik, tengok mesin kering baju saya kosong. Dah tak ada baju.

“Rasa pelik pula siapa yang ambil baju tu. Dah la ada macam-macam baju, uniform kerja suami, baju tekwando dan baju Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) anak. Semua kena ‘kebas’," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, selepas menyedari pakaiannya hilang, dia terus menghubungi talian perkhidmatan kedai dobi berkenaan untuk melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di premis itu.

"Saya tak sangka hilang kena curi sebab ingat orang salah ambil. Lepas tengok CCTV baru tahu, memang betul baju saya kena curi. Sebenarnya rasa marah pun ada, nak gelak pun ada sebab baju pun nak curi," katanya.

Sakinah turut memuat naik status mengenai kehilangan pakaiannya dan rakaman CCTV yang diperoleh daripada pihak pengurusan dobi itu di laman sosialnya, selepas kejadian itu.

Artikel Berkaitan:

“Saya bukan niat nak malukan sesiapa cuma nak beri peringatan kepada orang lain supaya tak terima nasib seperti saya. Selepas ini kalau nak tinggal baju kena berhati-hati. Kena ada orang tunggu," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan mangsa membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.