Laporan awal dapati tulang lama: KP Perak

Razarudin
Razarudin
A
A
A

GOPENG - Seketul tulang bersama beberapa serpihan ditemukan penduduk kampung ketika menjalankan operasi mencari Muhammad Ashraf Hassan, peserta larian yang hilang sejak 23 Mac lalu.

Tulang panjang seakan tulang betis dan lapan serpihan berukuran lebih kurang 15 ke 20 sentimeter itu ditemui lebih kurang jam 1.30 petang, semalam di sekitar kawasan Gua Kandu, di sini.

Bagaimanapun setakat ini masih belum dapat dipastikan sama ada tulang terbabit milik haiwan atau manusia Orang Asli dulu-dulu.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, laporan awal menunjukkan tulang yang ditemui adalah tulang lama.

"Carian dijalankan unit forensik di lokasi itu, tidak menemui tengkorak, rangka atau tulang lain.

“Hanya yang ditemui satu tulang panjang seakan tulang betis dan lapan serpihan berukuran lebih kurang enam ke lapan inci di dalam Gua Kandu," katanya.

Beliau berkata, semua tulang terbabit telah diambil dan dihantar ke Jabatan Patologi Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk mendapatkan pengesahan selanjutnya.

Katanya, jika disahkan ia tulang manusia, polis akan menjalankan ujian DNA untuk memadankannya dengan DNA Mohammad Ashraf dan ahli keluarga lain.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini kita belum boleh mengesahkan apa-apa, kita akan umumkan hasil ujian sebaik keputusan diperolehi nanti," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Penduduk kampung cari Acap jumpa tulang