Lapor jika ada asnaf, fakir tak dibantu

Aminolhuda (tengah) pada sidang media di Pusat Islam Iskandar Johor, hari ini.
Aminolhuda (tengah) pada sidang media di Pusat Islam Iskandar Johor, hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Semua pihak boleh membuat laporan kepada Pejabat Kadi daerah masing-masing sekiranya mengesan ada mana-mana golongan asnaf dan fakir miskin yang tidak menerima bantuan di negeri ini.

Exco Agama Johor, Aminolhuda Hasan berkata, bilangan amil yang dilantik di negeri ini sekali ganda lebih ramai daripada ketua kampung bagi memastikan setiap asnaf dan fakir miskin menerima hak masing-masing.

"Bilangan amil 1,659 orang, ketua kampung kurang 800 orang, maknanya bilangan amil ini melebihi ketua kampung maka hampir semua tempat termasuk yang jauh di pedalaman dan desa.

"Saya yakin dan percaya kita ada amil di situ untuk bertanggungjawab bagi memastikan masyarakat fakir miskin ini dikenal pasti dan bantuan sampai kepada mereka yang berhak.

"Jadi andai kat mana-mana pihak mengesan, ada lagi keluarga miskin atau fakir yang tidak menerima bantuan daripada amil-amil yang dilantik, mereka boleh membuat aduan atau laporan kepada pejabat kadi di peringkat daerah," katanya pada sidang media di Pusat Islam Iskandar Johor, hari ini.

Dalam pada itu, beliau tidak menafikan wujudnya pihak-pihak berkedudukan di negeri ini yang mengambil kesempatan menjadi amil tidak bertauliah.

"Tidak ada tangkapan tapi memang ada pihak-pihak tertentu yang mengambil kesempatan menggunakan pengaruh, kedudukan dalam masyarakat.

"Mereka pungut zakat untuk dihantar ke kawasan tertentu atau beri kepada orang-orang tertentu. Jadi ini beri kesan yang tak elok," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pemungutan zakat atau fitrah tanpa kuasa boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara tidak melebih dua tahun atau kedua-duanya sekali dan mahkamah hendaklah memerintahkan hasil pungutan itu dirampas dan dibayar ke dalam Kumpulan Wang yang ditubuhkan di bawah Seksyen 39 Enakmen Pentadbiran.

Aminolhuda turut menegaskan pengagihan hasil kutipan itu perlulah telus tanpa mengira latar belakang politik penerima.

"Saya tak tahu dari sudut itu tapi kalau kerana sokong parti tertentu dia tak dapat maka itu tak betul kerana kita nak membantu mereka yang termasuk dalam kategori asnaf, tak kiralah apa partinya, apa pun sokongannya yang penting dia penerima asnaf.

"Jadi sewajarnya bagi pihak amil kena daftarkan dan berikan bantuan kerana agihan tadi berdasarkan pecahan tertentu. Jadi kita kena berlaku jujurlah," katanya.

Pada sidang media sama, beliau mengumumkan ketetapan baharu harga fitrah tahun 2019 iaitu RM7 bagi umat Islam yang menjadikan beras jenis super tempatan sebagai makanan harian dan RM10 bagi umat Islam yang mengambil selain daripada beras super tempatan.

"Penetapan harga fitrah berdasarkan harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan oleh kebanyakan penduduk Islam di negeri ini pada kadar timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.6 kilogram.

"Umat Islam digalakkan menunaikan zakat di awal Ramadan bagi membolehkan agihan kepada fakir dan miskin disempurnakan sebelum Aidilfitri," katanya.

Unjuran pungutan fitrah tahun ini ditingkatkan kepada RM16 juta berbanding RM15 juta tahun lalu.

"Kita tambah anggaran itu kerana kemasukan pekerja-pekerja luar yang menetap di Johor dan pertambahan penduduk di zon Pengerang dan Johor selatan selain jumlah kelahiran anak-anak yang baharu," katanya.