Ilmu cegah kawal kebakaran penting: JBPM KL

Khalid menunjukkan demonstrasi memadam kebakaran menggunakan alat pemadam api.
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur meningkatkan kesedaran percegahan kebakaran di kawasan kediaman melalui pelancaran Celik Suri kepada kumpulan suri rumah.

Pengarah JBPM Kuala Lumpur, Nordin Pauzi berkata, Celik bermaksud tahu aspek keselamatan kebakaran manakala Suri merujuk kepada akronim Sedia Urus Isi Rumah.

Menurutnya, ketiadaan ilmu pencegahan dan langkah mengawal kebakaran dikhuatiri terdedah risiko api merebak sehingga dalam keadaan tidak terkawal.

"Secara peribadi saya bimbang kerana penghuni di Kuala Lumpur kebanyakannya duduk di rumah bertingkat pangsapuri dan kondominium, ada antaranya 20 hingga 40 tingkat.

"Pembangunan perumahan ini semakin rancak dijalankan. Saya terfikir bagaimana jika berlakunya kebakaran dan pastinya ia bukan tugas yang mudah kepada JBPM untuk operasi pemadaman dan menyelamat," katanya semasa program Kempen Kesedaran Keselamatan Kebakaran dan Pelancaran Celik Suri 2019, di Sentul Boulevard, di sini.

Pelancarannya disempurnakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad. Turut hadir, Ketua Pusat Perkhidmatan Jaksa Pendamai Kuala Lumpur, Datuk VM Panjamorthy.

Katanya, langkah pencegahan berterusan melalui pelbagai program dilakukan dalam mendepani risiko baharu kebakaran yang antara salah satunya disebabkan kecuaian.

"Pelan rekabentuk bangunan tidak berisiko kepada kebakaran selepas mengambil pelbagai aspek keselamatan. Kini risiko kebakaran datangnya daripada manusia seperti kecuaian.

"Salah satu pencegahan adalah melalui langkah awal apabila berlakunya kebakaran. Saya harap setiap rumah mempunyai alat pemadam api. Harganya tidak mahal jika dibandingkan dengan nyawa," katanya.

Sementara itu, Khalid berkata, kementeriannya menyokong penuh program melibatkan keselamatan masyarakat dan bersedia menyalurkan bantuan bersesuaian termasuk saluran peruntukan memperbanyakkan program.

"Kita akan menggalakkan di kawasan projek perumahan rakyat diadakan program seperti ini supaya bomba dapat mendampingi masyarakat dan masyarakat beroleh info keselamatan.

"Semua pihak perlu ambil peranan dalam meningkatkan keselamatan yang adakalanya punca kebakaran disebabkan perkara remeh. Disebabkan itu pentingnya isu keselamatan diberikan peringatan dan diamalkan," katanya.

Khalid (dua dari kanan) merasmikan program.
Khalid (dua dari kanan) merasmikan program.

Statistik kes kebakaran antara Januari hingga Mac tahun ini menunjukkan peningkatan kepada 487 kes berbanding 408 tahun lepas.

Celik Suri akan diselitkan dalam program bertemu masyarat dan turun padang serta hebahan di media.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia