Hospital Taiping perlu peruntukan tambahan

Azwan (tiga dari kanan) menyempurnakan majlis penyerahan sumbangan lima set sofa kepada Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Taiping di ruang Asthma Bay hospital itu, hari ini.
Azwan (tiga dari kanan) menyempurnakan majlis penyerahan sumbangan lima set sofa kepada Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Taiping di ruang Asthma Bay hospital itu, hari ini.
A
A
A

TAIPING - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diminta mempertingkatkan peruntukan tahunan Hospital Taiping bagi memastikan hospital itu menyediakan perkhidmatan lebih efisien dan berkualiti pada masa hadapan.

Pengerusi Lembaga Pelawat Hospital Taiping, Azwan Lokman berkata, gesaan itu amat penting kerana Hospital Taiping kini berstatus hospital kluster dan menjadi rujukan hospital daerah berhampiran seperti Kerian, Selama, Gerik, Lenggong dan Pengkalan Hulu.

Menurutnya, peruntukan tahunan diterima hospital itu difahamkan tidak mencukupi bagi menampung keperluan pesakit-pesakit yang datang dari pelbagai daerah dari Perak Utara dan Hulu Perak pada setiap hari.

"Cuma kita tidak dapat mendedahkan nilai cadangan tambahan anggaran peruntukan tahunan Hospital Taiping kepada umum lagi.

"Saya mewakili Jawatankuasa Lembaga Pelawat Hospital Taiping menggesa perkara ini diberi perhatian serius KKM dan kerajaan pusat demi kepentingan pesakit dan warga kakitangan hospital itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas penyerahan sumbangan lima set kerusi sofa kepada pihak Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Taiping di sini, hari ini.

Sementara itu, Azwan menegaskan objektif penyerahan sumbangan lima set kerusi sofa bernilai RM2,100 itu adalah bagi menambah baik ruang pesakit dan pelawat di Asthma Bay, Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Taiping.

Menurutnya, sumbangan tersebut dijayakan Syarikat Cermin Mata Aezlyn Optic dan beberapa penyumbang tempatan yang peka dengan keperluan untuk menambah baik kemudahan Hospital Taiping.

Artikel Berkaitan:

"Dalam masa terdekat, pihak kami sedang berusaha mendapatkan sumbangan 100 set kerusi untuk pesakit di semua jenis wad, kipas angin kepada wad tiada pendingin hawa dan kerusi malas untuk ibu mengandung berehat.

"Inisiatif ini membuktikan pihak hospital dan masyarakat setempat sentiasa menjalinkan kerjasama erat dan saling membantu dalam memastikan kemudahan disediakan dinaik taraf demi kepentingan pesakit dan kakitangan hospital," katanya.

Azwan berkata, individu atau orang ramai yang ingin memberi sumbangan kepada Hospital Taiping boleh berbuat demikian dengan menghubunginya di talian 016-5341494 untuk keterangan lanjut.

"Jawatankuasa Lembaga Pelawat Hospital Taiping turut mengalu-alukan sebarang bentuk sumbangan seperti kerusi pesakit, kipas angin, buku, majalah atau apa jua barangan bermanfaat daripada orang ramai bagi membolehkan pesakit dan kakitangan hospital menerima kemudahan lebih selesa," katanya.