PPK Tanjung Puri perintis halia bara

Husam menyiram anak pokok halia bara di PPK Tanjung Puri, hari ini.
Husam menyiram anak pokok halia bara di PPK Tanjung Puri, hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tanjung Puri menjadi pelopor tanaman halia bara daripada 13 PPK di bawah kelolaan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), di seluruh negeri.

Pengerusi KADA, Senator Datuk Husam Musa berkata, hasil kerjasama PPK dan KADA, produk itu akan menjadi tanaman kedua petani selepas padi sekali gus meningkatkan pendapatan pesawah terutama ketika di luar musim.

“Seramai 263 peserta dari PPK ini menyahut cabaran untuk mengeluarkan hasil pertama dan sekurang-kurangnya kita sasar, sebanyak 2,630kg halia dapat dijual dalam masa lapan bulan akan datang.

“Menggunakan modal RM11,000, kita olah produk berasaskan halia ini menjadi produk hiliran,” katanya pada sidang media majlis Pelancaran Projek Penanaman Dan Pembahagian Peralatan Tanaman Halia Bara di PPK Tanjung Puri, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi PPK Tanjung Puri, Ismail Mat @ Mamat berkata, sebagai permulaan petani dari 17 unit PPK diberi 10 beg poli secara percuma dan setiap anak pokok itu akan menghasilkan sehingga 1.5kg semusim.

Beliau berkata, hasil perjanjian persefahaman KADA dan PPK Tanjung Puri, produk yang banyak digunakan dalam bidang kosmetik, perubatan dan pemakanan akan dijual kepada sebuah syarikat, mengikut harga pasaran iaitu antara RM20 hingga RM30 sekilogram.

“Kita harap petani dapat meningkatkan bilangan kepada 10 'polibag' halia bara yang baharu setiap bulan, kerana ia akan meningkatkan lagi pendapatan petani pada masa depan,” katanya.

Artikel Berkaitan: