Lelaki pengsan terjatuh ketika mendaki Gunung Korbu

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

IPOH - Seorang pendaki lelaki tidak sedarkan diri akibat terjatuh dari ketinggian enam meter di Gunung Korbu, Hulu Kinta, hari ini.

Ketika kejadian, mangsa yang mengalami cedera di kepala melakukan aktiviti pendakian bersama 12 pendaki dan 11 pemandu arah, sejak Jumaat lalu.

Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohd Khairul Jamil berkata, panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima daripada seorang peserta pendakian pada jam 10.29 pagi.

Menurutnya, seramai 20 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian bagi membantu operasi menyelamat yang turut disertai enam anggota Unit Udara Bomba.

"Kita telah buat persiapan menggerakkan anggota naik ke atas mengambil mangsa, buat masa ini bantuan unit udara diperlukan untuk mengambil mangsa.

"Bagaimanapun sekiranya cuaca tidak mengizinkan, kita terpaksa menggunakan jalan darat," katanya.

Beliau berkata, maklumat diperolehi daripada saksi, pendakian perlu mengambil masa dua hari untuk sampai ke tempat kejadian.

Katanya, keadaan hutan tebal serta lokasi kejadian yang berada di puncak sedikit menyukarkan operasi menyelamat.

Artikel Berkaitan:

"Penelitian akan dibuat terlebih dahulu sama ada menggunakan unit udara bagi mengambil mangsa atau meletakkan anggota dan membawa turun mangsa melalui jalan darat.

"Mangsa pada ketika ini dilaporkan pengsan dan alami cedera parah di kepala," katanya.