Kalau RM2,000 untuk peneroka, itu lebih baik

Roslan Md Esa
A
A

KUANTAN - Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (Generasi) yang memperjuangkan isu Felda menyambut baik keputusan kerajaan meneruskan bayaran elaun sara hidup peneroka dengan kadar RM1,500 sebulan.

Namun Pengerusinya, Roslan Md Esa berkata, Felda perlu menambah RM500 kerana jumlah yang telah diumumkan oleh kerajaan itu tidak mencukupi untuk menampung jumlah pendapatan harian peneroka.

Menurutnya, walaupun pihaknya memahami tentang kedudukan kewangan dan masalah aliran tunai yang dihadapi Felda berikutan masalah hutang tinggi yang dihadapi agensi itu namun mereka juga perlu memahami kehendak peneroka.

“Kita faham dengan kedudukan Felda sekarang yang tidak ada banyak aliran tunai. Justeru, kita setuju supaya hanya RM1,500 diberikan sebagai (pinjaman) elaun sara hidup namun perlu ditambah RM500 disebabkan kos sara hidup diri yang kian meningkat.

"Sepatutnya kerajaan PH perlu lebih baik daripada kerajaan terdahulu dalam membantu peneroka kerana mereka sememangnya bergantung dengan elaun dan insiatif yang diberikan oleh kerajaan.

"Saya bukan tak setuju dengan jumlah RM1,500 namun kalau RM2,000 itu lebih baik kerana kerajaan perlu melihat dari semua faktor khususnya kos sara hidup diri peneroka," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali telah mengumumkan akan meneruskan Bayaran Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil sebanyak RM1,500

Beliau berkata, perkara itu diputuskan dalam persidangan Parlimen, baru-baru ini, selepas beliau mengadakan perjumpaan bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad beberapa kali sebelum ini.

Dalam pada itu, Roslan berharap agar keputusan yang diumumkan kerajaan bersifat kekal dan bukan bersifat sementara.

Menurutnya, kerajaan perlu sentiasa memahami permasalahan dihadapi peneroka dan mendapatkan maklumat terus dari akar umbi sebelum sesuatu keputusan dibuat.

"Pada pandangan peribadi saya, sebenarnya kerajaan PH hanya penjenamaan semula apa yang telah dilakukan oleh kerajaan terdahulu.

"Saya berharap agar kerajaan PH tolonglah peneroka kerana mereka ini sengara dari segi kewangan.

"Saya berharap apa yang telah diumumkan kerajaan ini menjadi kenyataan dan jangan pula selepas ini mereka 'u-turn'," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia