Dadah di Kelantan: Jangan terkejut tetapi buka mata

Dr Abdul Halim Yusof
Dr Abdul Halim Yusof
A
A
A

KOTA BHARU - Rakyat tidak perlu terkejut dengan pendedahan kebimbangan Polis Kelantan terhadap kes pengedaran dan penagihan pil kuda di negeri ini.

Sebaliknya, Pengerusi Persatuan Peduli Rakyat Kelantan, Datuk Dr Abdul Halim Yusof berkata, semua pihak kena membuka mata mencari solusi lebih agresif untuk dibanteras sebelum ia menjadi tidak terkawal.

Menurutnya, perkongsian dibuat Polis Kelantan itu adalah realiti yang tidak boleh dinafikan dan bahana penglibatan golongan muda dengan dadah dirasai semua pihak.

“Gejala ini merentas semua lapisan masyarakat, namun kelompok rakyat bawahan yang amat terdedah kepada penagihan baru dan penagihan tegar.

“Usaha untuk mengatasinya hendaklah menjadi tanggungjawab setiap ahli masyarakat, bukan sekadar agensi-agensi tertentu sahaja yang perlu bekerja siang dan malam,” katanya kepada Sinar Harian di sini, hari ini.

Dr Abdul Halim berkata, gejala itu biasanya berangkai dengan gejala seks, jenayah dan pelbagai penyakit termasuk kelemahan daya tahan tubuh badan.

Menurutnya, usaha mengatasi isu penagihan dadah kurang berjaya kerana gejala penagihan tersebut bermula dan berkembang dari pelbagai faktor yang sukar diatasi.

“Faktor sosial seperti institusi keluarga yang tidak berfungsi, masyarakat kurang prihatin, keadaan ekonomi seperti pengangguran dan desakan hidup antara punca.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, faktor kerajaan seperti kurang tempat rekreasi dan kemudahan awam untuk bersukan dan unsur-unsur lain dari segenap sudut,” katanya.

Dr Abdul Halim berkata, retorik agama melalui ceramah dan pelbagai program secara 'adhoc' hanya memberi sedikit kelegaan emosi sedangkan hakikatnya gejala itu terus merebak dan membiak.

“Saya mencadangkan tiga unit utama masyarakat digerakkan secara sistematik, menyeluruh dan bersepadu iaitu melibatkan institusi keluarga bermula dari peringkat perkahwinan lagi.

“Keduanya, institusi sekolah dan pendidikan iaitu menerapan pendidikan tentang bahaya dadah dan pendedahan menjauhi dadah. Ketiga adalah masjid dan tempat ibadat,” katanya.

Menurutnya, kesemua itu mesti digerakkan melalui dana dan pengurusan khas untuk menjadi strategi sebagai paksi penglibatan agensi kerajaan, NGO, individu dan semua elemen masyarakat.

Semalam, Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan menyuarakan kebimbangan terhadap trend peningkatan nilai tangkapan pil kuda dan kemungkinan menjadikan Kelantan gedung bahan terlarang tersebut jika tidak dibendung.

Sepanjang tahun 2018 sebanyak RM33.5 juta pil kuda dirampas berbanding RM11.7 juta tahun sebelumnya yang menunjukkan peningkatan RM21.1 juta.