Hubungan rapat Pusat, Johor beri kebaikan

Muhyiddin Yassin bersalaman dengan Dr Sahruddin di Kota Iskandar di sini hari ini.
Muhyiddin Yassin bersalaman dengan Dr Sahruddin di Kota Iskandar di sini hari ini.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan terdapat beberapa perkara yang Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar telah titahkan kepadanya untuk diambil perhatian.

Titah tersebut dizahirkan ketika beliau mengadap baginda Tuanku di Istana Pasir Pelangi di sini, pagi tadi.

Muhyiddin yang juga Pengerusi PH Johor turut memaklumkan beliau ada menyampaikan kepada Sultan Johor perihal hubungan antara kerajaan Pusat dan negeri ini, yang mesti rapat dan akrab.

"Kerana ada banyak kebaikan daripada hubungan yang baik. Saya sebutkan macam zaman saya dululah, sudah lama.

"Dan mungkin apa-apa perkara yang perlu dijelaskan supaya sampai berita yang tepat, boleh disampaikan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Johor, Dr Sahruddin Jamal di Kota Iskandar di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, dengan adanya menteri besar baharu, sesuatu maklumat dapat diketahui oleh pimpinan di peringkat Persekutuan sama ada perdana menteri, timbalan perdana menteri mahupun menteri yang berkaitan.

Katanya, Johor merupakan sebuah negeri yang penting dan mempunyai banyak potensi untuk dimajukan dan boleh menyumbang kepada pembangunan negara.

"Sebab itu, kalau ada apa-apa peselisihan faham, perkara-perkara yang berbangkit ini tidak akan membantu. Jadi ini pun kita bincang tadi secara umum," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Muhyiddin bersama Sahruddin kelihatan memasuki perkarangan Istana Pasir Pelangi, di sini, sekitar jam 10.50 pagi, untuk mengadap Sultan Johor.