Malaysia perlu selangkah tangani turun naik pasaran minyak sawit

Tun Daim - Foto Bernama
Tun Daim - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia perlu selangkah di depan dalam merancang cara untuk bertindak balas terhadap turun naik harga pasaran minyak sawit bagi melindungi sumber pendapatan negara itu, serta kebajikan pekebun kecil, kata Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin.

Beliau berkata, oleh kerana Malaysia sebuah negara kecil dan 80 peratus daripada minyak sawit mentah (MSM) dan produk berasaskan minyak sawitnya dieksport, adalah penting untuk negara bekerjasama dengan Indonesia, pengeluar terbesar komoditi itu di dunia, terutamanya dalam menangani cabaran daripada Kesatuan Eropah (EU) dan pertikaian perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China.

'’Kita perlu bekerjasama dengan Indonesia kerana Malaysia sendiri ialah sebuah negara kecil (dengan 31 juta penduduk setakat 2017) dan bersama-sama dengan Indonesia yang mempunyai 264 juta penduduk, kita boleh perjuangkan perkara ini bersama-sama,” katanya kepada Bernama.

Mengambil perhatian bahawa harga MSM bergantung pada kuasa pasaran, beliau berkata: “Ini adalah biasa malah semasa zaman saya. Jadi ini bukan sesuatu yang baharu, tetapi sekarang, dengan ancaman datang daripada EU dan pertikaian perdagangan AS-China, kita perlu bijak.”

Daim berkata meskipun adalah berita baik bahawa AS dan China bakal memuktamadkan perbincangan perdagangan mereka, kerajaan Malaysia, agensinya dan pemain industri juga perlu mengambil perhatian mengenai apa yang berlaku dalam perjanjian itu.

Pada Mac tahun lepas, Presiden AS Donald Trump mengenakan tarif sehingga 25 peratus ke atas barangan eksport China dan kerajaan China bertindak balas dengan turut mengenakan tarif 25 peratus ke atas barangan AS bernilai US$110 bilion, termasuk kacang soya, yang merupakan tanaman eksport pertanian paling penting AS.

Ini telah membuka lebih banyak peluang kepada minyak boleh dimakan yang lain termasuk minyak sawit.

“Tetapi jangan bertindak balas apabila sudah terlewat kerana ia mungkin menjejaskan pasaran kita dan pekebun kecil,” katanya,

Artikel Berkaitan:

China ialah pembeli ketiga terbesar MSM Malaysia selepas India dan EU.

Namun susulan pemeteraian perjanjian baharu bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pada Isnin, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Putrajaya akan memanfaatkan perjanjian itu dan akan mengusahakan pembelian minyak sawit oleh China. - Bernama