Keldai dadah bawa syabu bernilai RM2.5j ditahan

Zainuddin (tiga dari kanan) menunjukkan syabu yang dibungkus dengan pembalut teh Cina, berjaya dirampas dalam pemeriksaan sebuah kereta berhampiran Plaza Tol Sungai Petani Utara.
Zainuddin (tiga dari kanan) menunjukkan syabu yang dibungkus dengan pembalut teh Cina, berjaya dirampas dalam pemeriksaan sebuah kereta berhampiran Plaza Tol Sungai Petani Utara.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang lelaki sanggup menggadai nyawa menerima upah RM20,000 untuk membawa dadah jenis syabu bernilai RM2.5 juta.

Aktiviti itu terbongkar setelah polis Kedah menahan suspek yang membawa 50 paket syabu dibungkus dengan pembalut teh Cina, dalam pemeriksaan berdekatan Plaza Tol Sungai Petani Utara, Khamis lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, sebanyak 51 kilogram syabu dirampas daripada suspek yang menyembunyikan bahan terlarang itu dalam dua beg pakaian di bahagian but kereta dinaiki suspek.

Menurutnya, ini merupakan rampasan terbesar dalam negeri sepanjang tempoh tiga bulan ini.

“Dengan penahanan suspek berusia 30 tahun ini, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah berjaya lumpuhkan sindiket pengedaran dadah menggunakan keldai dadah sebagai modus operandinya,” katanya, pada sidang media, di sini, hari ini.

Zainuddin berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya menahan suspek selepas dia cuba melarikan diri di kawasan parkir berhampiran Plaza Tol Sungai Petani Utara.

“Ketika pemeriksaan dilakukan pada badan suspek, polis tidak menjumpai apa-apa barang salah. Namun pemeriksaan lanjut di belakang but kereta dinaiki suspek, polis menemui dua beg di dalamnya mengandungi 50 paket plastik jenama terkenal teh Cina, disyaki syabu,” katanya.

Menurutnya, cubaan sindiket terbabit menggunakan taktik dengan menukar pek pembalut gagal mengaburi pihak polis.

Artikel Berkaitan:

“Bahagian luar dibalut pembungkus teh Cina,di dalamnya syabu. Selain merampas dua beg, di mana satu beg mengandungi 35 paket dan satu lagi 15 paket, polis turut rampas sebuah kereta jenis Persona yang disewa suspek ketika ditahan,” katanya.

Zainuddin berkata, suspek yang bekerja sebagai pembantu kedai itu belum berkahwin dan tiada rekod kesalahan lampau.

“Ujian urin yang dijalankan turut negatif. Polis percaya suspek adalah keldai dadah yang gunakan jalan pintas untuk dapatkan wang dengan cara mudah. Sindiket ini pergunakan individu namun mereka kaut keuntungan berganda,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, setiap penghantaran yang dibuat diberi upah RM20,000 oleh sindiket terbabit.

“Kita akan buru dalang sindiket ini agar tidak terlepas daripada tindakan undang-undang. Kita tidak mahu hanya menahan keldai dadah, sebaliknya taukeh sindiket itu juga akan diburu. Rangkaian ini akan lumpuh dengan tertangkapnya suspek,” katanya.

Zainuddin berkata, suspek dipercayai membawa dadah terbabit dari negara jiran dan dipercayai untuk pasaran wilayah Utara.

“Suspek direman bermula 19 hingga 25 April depan, bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah, kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.