Pukul 'bini' kena tegur main judi

Abdul Rahim Md Din
Abdul Rahim Md Din
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Hanya kerana ditegur bermain judi atas talian, seorang lelaki mengamuk dan memukul isterinya hingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Pasir Panjang, di sini, Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam, wanita berusia 33 tahun itu menegur dengan cara baik suspek, 22, yang sedang 'ralit' bermain judi atas talian di dalam telefon bimbit.

Menurut sumber, tidak senang dengan teguran tersebut, suspek mula naik angin sebelum berlaku perbalahan mulut di antara pasangan tersebut.

"Bagaimanapun, perbalahan mulut itu berlarutan sehingga suspek dikatakan gagal mengawal amarahnya sebelum memukul kepala mangsa dengan menggunakan topi keledar.

"Tidak cukup dengan itu, suspek terus bertindak agresif sebelum mencekik leher dan menampar pipi suri rumah itu.

"Akibat perbuatan itu, mangsa mengalami kecederaan sakit di leher dan kepala serta pecah di bibirnya," katanya kepada Sinar Harian.

Sumber berkata, tidak berpuas hati dengan kejadian itu serta bimbang akan keselamatan diri dan anak-anak pada masa akan datang, mangsa membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan ada menerima laporan kejadian di Balai Polis Kuala Terengganu, di sini.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga (pindaan) 2012.