Kerajaan pertimbang guna EV sebagai kenderaan rasmi

Penggunaan EV sebagai kenderaan rasmi jabatan dan jawatan dalam usaha kerajan meningkatkan jumlah penggunaan kenderaan tersebut. - Gambar hiasan
Penggunaan EV sebagai kenderaan rasmi jabatan dan jawatan dalam usaha kerajan meningkatkan jumlah penggunaan kenderaan tersebut. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan mempertimbangkan penggunaan kereta elektrik (EV) termasuk hibrid sebagai kenderaan rasmi jabatan dan jawatan dalam usaha meningkatkan jumlah penggunaan kenderaan tersebut.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Liew Chin Tong berkata, perkara tersebut sedang diperhalusi oleh Kementerian Kewangan.

"MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) juga mencadangkan supaya pengecualian sepenuhnya cukai jualan bagi EV yang dipasang secara tempatan serta pelepasan cukai pendapatan individu untuk langganan kemudahan atau pemasangan sistem pengecasan EV.

“Kesan daripada inisiatif ini dapat dilihat dengan peningkatan yang ketara dalam permintaan terhadap EV kepada lebih 3,400 unit pada 2022 berbanding 300 unit secara purata setiap tahun sebelumnya.

“Usaha menarik pelabur untuk memasang infrastruktur lokasi pengecas (charging point) juga berkesan di mana jumlah stesen pengecasan meningkat 51 peratus pada 2022 berbanding pada 2020, menjadikan jumlah stesen pengecasan telah mencecah 902 unit pada ketika ini,” katanya pada sesi jawapan lisan Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) mengenai dasar MITI untuk menggalakkan penggunaan EV di negara ini.

Dalam pada itu Chin Tong (PH-Iskandar Puteri) memaklumkan, kerajaan akan mewujudkan pasukan petugas EV bagi meneliti dasar memperbanyakkan lokasi pengecasan di seluruh negara untuk mengimbangi permintaan pengguna.

“Untuk masa akan datang memang kita akan lihat lebih banyak lokasi pengecasan dan pasukan petugas akan menggariskan dasar, insentif dan inisiatif bagi membantu wujudkan lokasi pengecasan bervoltan tinggi.

“Kalau ada lebih banyak lokasi pengecasan ini, kita tidak akan menghadapi masalah permintaan lagi dan bagi dasar cukai jalan EV pula akan diuruskan oleh jemaah menteri nanti,” katanya.

Ching Tong memaklumkan, jumlah sedia ada untuk unit EV dan hibrid di negara ini mencecah 21,659.