Ahli Majlis PBT perlu dekati rakyat

Wan Rosdy bersama kesemua ahli majlis yang dilantik pada majlis terbabit, semalam.
Wan Rosdy bersama kesemua ahli majlis yang dilantik pada majlis terbabit, semalam.
A
A
A

CAMERON HIGHLANDS – Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini diingatkan supaya sentiasa mendekati rakyat.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia menjadi tanggungjawab setiap Ahli Majlis yang telah dilantik untuk sentiasa mendekati dan berhubung dengan rakyat.

“Kesejahteraan dan keselesaan rakyat perlu dilihat sebagai 'outcome' yang dinilai melalui Indeks Prestasi Utama (KPI) Ahli Majlis. Di samping membolehkan rakyat mengerti justifikasi seseorang Ahli Majlis itu dipilih.

“Justeru Ahli Majlis perlu komited dan memberikan cerminan yang baik kepada rakyat. Jadikan integriti dengan menggabungkan nilai peribadi yang tinggi sebagai teras utama dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis PBT di Pahang petang, semalam.

Seramai 232 Ahli Majlis yang dalam kalangan penjawat awam, ahli politik, professional dan wakil dari NGO telah mengangkat sumpah serta menerima watikah pelantikan masing-masing.

Tempoh lantikan ialah antara 1 November 2018 dan 31 Oktober 2020.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail, serta Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk C Sivarraajh.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, jangkaan rakyat terhadap perkhidmatan Ahli Majlis semakin tinggi dan sudah pasti cabaran yang akan dihadapinya juga akan bertambah.

Bagaimanapun, Wan Rosdy yakin cabaran yang bakal dihadapi tidak akan menjadi penghalang untuk Ahli Majlis untuk melakar kejayaan.

“Bersama-samalah kita memperbaharui azam dan tekad supaya tugas dan tanggungjawab yang dilaksanakan tidak menyeleweng daripada prinsip memakmurkan negeri, mensejahterakan rakyat,” katanya.

Selain itu, beliau memberitahu, kerajaan negeri ini sudah menggariskan beberapa fokus rasional yang perlu diberi perhatian dalam usaha untuk mencapai aspirasi memajukan negeri dan negara.

Antara yang utama ialah untuk mewujudkan persekitaran yang selamat dan berkualiti, membangunkan tanah, mengadakan kepelbagaian jenis perumahan mampu milik, dan menggalakkan pembangunan setempat berteraskan Dasar Teknologi Hijau Negara (DTHN).

“Saya mengharapkan agar ahli yang dilantik di kesemua 11 PBT di negeri ini, dapat menyokong agenda pembangunan negeri demi mencapai aspirasi Wawasan 2020,” katanya lagi.