Mandi jenazah guna air dihantar bomba: AKSB beri penjelasan

Sinar Harian sebelum ini melaporkan keluarga kepada seorang warga emas yang meninggal dunia di Kampung Paloh, Palekbang di sini terpaksa menghubungi bomba berikutan masalah gangguan bekalan air yang menyukarkan urusan memandikan jenazah.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan keluarga kepada seorang warga emas yang meninggal dunia di Kampung Paloh, Palekbang di sini terpaksa menghubungi bomba berikutan masalah gangguan bekalan air yang menyukarkan urusan memandikan jenazah.
A
A
A

KOTA BHARU - Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) memaklumkan tidak menerima sebarang permintaan untuk penghantaran bekalan air daripada ahli keluarga warga emas yang meninggal dunia ketika gangguan air berlaku di Kampung Paloh, Palekbang di sini minggu lalu.

AKSB melalui kenyataan pada Ahad memaklumkan, sepanjang tempoh penghantaran notis, syarikat itu bersedia menghantar bekalan air melalui dua buah lori tangki dan empat buah lori air kontrak ke kawasan yang memerlukan.

"Bagi keperluan pihak bomba, bekalan air diperoleh daripada AKSB.

"Bagi kes penghantaran air oleh bomba bagi tujuan memandikan jenazah di Kampung Paloh, Palekbang, bekalan air berkenaan merupakan air terawat AKSB cuma penghantaran air dibuat oleh anggota bomba," katanya.

AKSB turut memaklumkan syarikat itu mengeluarkan notis lebih awal berkaitan kerja-kerja penyelenggaraan berjadual melalui akhbar, radio dan media sosial.

AKSB juga memberitahu notis disampaikan melalui pembaca meter atau kakitangan jajahan AKSB supaya pengguna menyimpan air secukupnya.

"Mengikut laporan akhbar, cucu kepada Allahyarham Limah Yamat yang meninggal dunia menghubungi bomba untuk penghantaran air ke rumah bagi tujuan memandikan jenazah kerana dimaklumkan kediaman tersebut tidak mempunyai air," katanya.

Dalam kenyataan sama, AKSB memberitahu, penyelenggaraan berjadual oleh AKSB di Loji Rawatan Air Wakaf Bharu dilaksanakan pada 16 Februari 2023 dan penutupan dibuat jam 10 malam, 16 Februari lalu.

"Loji itu beroperasi semula pada keesokan hari dan kembali pulih dalam tempoh 24 jam bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna," katanya.

AKSB menasihatkan pengguna memaklumkan kepada pihaknya berhubung masalah bekalan air bagi membolehkan tindakan diambil.

Pengguna juga perlu memainkan peranan membuat laporan, melalui myAKSB atau menghubungi AKSB di talian 15777 atau WhatsApp ke 019-5755777 atau email pintas@airkelantan.com.my atau ke pejabat jajahan terdekat.

Pada Jumaat, akhbar melaporkan keluarga seorang warga emas yang meninggal dunia di Kampung Paloh, Palekbang di sini terpaksa menghubungi bomba berikutan gangguan bekalan air yang menyukarkan urusan memandikan jenazah.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wakaf Bharu, Mohd Azwan Arif Ab Majid berkata, bomba menerima panggilan pada jam 8.03 pagi daripada cucu Allahyarham Limah Yamat, 80, untuk bantuan berkenaan.