Bakal Datuk Bandar Ipoh boleh cakap Jepun

Ahmad Faizal meletakkan batu asas sebagai gimik perasmian majlis tersebut di tapak projek pengajian Islam, hari ini.
Ahmad Faizal meletakkan batu asas sebagai gimik perasmian majlis tersebut di tapak projek pengajian Islam, hari ini.
A
A
A

IPOH - Pelantikan Datuk Bandar Ipoh yang baharu akan dibuat pada bulan ini apabila Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sudah memperkenan nama individu yang dipilih.

Bagaimanapun, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang memaklumkan perkara tersebut enggan mendedahkan identiti bakal Datuk Bandar Ipoh itu.

Menurutnya, individu yang dipilih itu ialah anak jati Perak yang pernah berkhidmat di luar Perak dan bukan lantikan berdasarkan politik.

"Beliau (bakal Datuk Bandar Ipoh) ialah anak tempatan dari Perak yang berkhidmat di merata tempat, berpengalaman luas. Yang pasti dia boleh cakap Jepun.

"Jadi, masalah ketiadaan Datuk Bandar ini akan selesai dalam masa terdekat dan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak pun telah memberi perkenan untuk beliau memulakan tugas pada bulan ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Meletakkan Batu Asas Pusat Pengajian Islam At-Taiyyibin di Tapak Projek Pusat Pengajian Islam, Chemor di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata, beliah menyerahkan kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Perak untuk membuat keputusan membabitkan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man.

"Kita serahkan kepada SUK untuk mengambil tindakan. Tentunya ada prosedur tertentu berkenaan masalah sedemikian. Namun yang pentingnya seorang Datuk Bandar baru akan memulakan tugas tidak berapa lama lagi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri akan membantu pembinaan Pusat Pengajian Islam At-Taiyyibin sebaik mungkin walaupun mempunyai kekangan kewangan.

"Badan berkanun dan syarikat swasta akan diminta bersama-sama membantu membangunkan pusat pengajian ini yang membabitkan kos lebih RM9 juta manakala dana yang terkumpul hanya kira-kira RM900,000.

"Kita harap dewan serta rumah kedai dapat disiapkan terlebih dahulu agar ia boleh menjana pendapatan untuk membangunkan Pusat Pengajian Islam At-Taiyyibin. Keseluruhan pembinaan ini mengambil masa tiga tahun, namun jika dana mencukupi pembinaannya boleh dilaksanakan lebih awal," katanya.

Hadir sama pada majlis itu Penaung Pusat Pengajian Islam At-Taiyibin, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Datuk Mohd Yusop Husin.