Penduduk kampung cari Acap jumpa tulang

Mohammad Ashraf (hadapan) yang dilaporkan hilang ketika menyertai larian Gopeng Ultra Trail. (Gambar Kecil:Mohd Fairis Zabidi)
Mohammad Ashraf (hadapan) yang dilaporkan hilang ketika menyertai larian Gopeng Ultra Trail. (Gambar Kecil:Mohd Fairis Zabidi)
A
A
A

GOPENG - Seketul tulang ditemukan penduduk kampung ketika menjalankan operasi mencari Muhammad Ashraf Hassan peserta larian yang hilang sejak 23 Mac lalu.

Bagaimanapun, setakat ini masih belum dapat dipastikan sama ada tulang terbabit milik haiwan atau manusia selepas ia ditemui kira-kira jam 1.30 petang, semalam di sekitar Gua Kandu, di sini.

Menurut sumber, ujian patalogi kimia sedang dilakukan bagi mendapatkan pengesahan terbabit.

"Berdasarkan keadaan fizikal tulang itu, ia berkemungkinan tulang lama, apa pun kita perlu dapatkan keputusan analisis makmal dahulu untuk tentukan sama ada ia tulang haiwan, manusia atau Orang Asli dulu-dulu," katanya.

Sementara itu Pengerusi Majlis Pimpinan Komuniti Kampung (MPKK) Pintu Padang, Mohd Fairis Zabidi berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai penemuan itu kira-kira jam 3 petang.

"Sehingga hari ini, operasi mencari masih digerakkan penduduk kampung di semua kawasan terlibat larian termasuklah Gua Kandu.

"Ada juga sukarelawan luar yang datang bantu, tapi hanya dalam kumpulan kecil, tidak seperti sebelum ini," katanya.

Menurutnya, lokasi penemuan memang jarang dilalui penduduk kerana terletak di lokasi agak ke dalam di belakang Gua Kandu.

Artikel Berkaitan:

Mohammad Ashraf, 29, yang dikenali sebagai Acap disedari hilang selepas mangsa tidak tiba di garisan penamat ketika menyertai larian Gopeng Ultra Trail (GUT) 2019, Mac lalu.

Operasi pencarian yang masuk hari ke 30 kehilangan tidak menemui sebarang petunjuk lokasi mangsa berada.