Maut langgar lampu isyarat merah

Keadaan van yang terlibat dalam kemalangan di Iskandar Puteri, malam tadi. - Foto Polis
Keadaan van yang terlibat dalam kemalangan di Iskandar Puteri, malam tadi. - Foto Polis
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan kira-kira jam 8.30 malam tadi selepas melanggar lampu isyarat merah di KM29 Jalan Johor Bahru-Gelang Patah-Pendas.

Mangsa dikenali sebagai Mohamad Shafiq Sahar, 29 mengalami kecederaan parah di kepala, badan dan kaki selepas melanggar sebuah van jenis Placer-X.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kemalangan melibatkan sebuah motosikal dari arah Gelang Patah menuju ke Lima Kedai dan dua buah van dari arah Kota Iskandar menuju ke Taman Nusantara.

"Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila penunggang motosikal yang tiba di lokasi kejadian iaitu kawasan simpang empat telah melanggar lampu isyarat merah sebelum melanggar sebelah kiri van tersebut.

Keadaan motosikal yang terlibat dalam kemalangan di Iskandar Puteri, malam tadi. - Foto Polis
Keadaan motosikal yang terlibat dalam kemalangan di Iskandar Puteri, malam tadi. - Foto Polis

"Perlanggaran itu menyebabkan sebuah lagi van jenis Toyota dari arah belakang terbabas melanggar tiang lampu di sebelah kanan jalan ketika mengelak daripada melanggar van itu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pemandu van jenis Toyota yang bekerja sebagai pemandu itu dilaporkan patah tangan kanan serta cedera pada bahagian kaki manakala seorang lagi pemandu van dilaporkan cedera pada bahagian dada dan kaki.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai untuk bedah siasat.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat di bawah Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.