Sathianathan mohon maaf pada kepada peminat

Pemain Selangor Sean Eugene Selvaraj (dua, kiri) diasak pemain PKNP FC Amani Santos Aguinaldo (kiri) dalam perlawanan Liga Super 2019 yang berlangsung di Stadium Shah Alam, malam tadi. - Foto Bernama
Pemain Selangor Sean Eugene Selvaraj (dua, kiri) diasak pemain PKNP FC Amani Santos Aguinaldo (kiri) dalam perlawanan Liga Super 2019 yang berlangsung di Stadium Shah Alam, malam tadi. - Foto Bernama
A
A
A

PENGENDALI Selangor, B.Sathianathan memohon maaf kepada peminat Selangor kerana pasukannya tidak meraikan kemenangan bersama-sama selepas menumpaskan PKNP FC, 2-1 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Sathianathan berkata, pemainnya bukan sengaja tidak mahu pergi kepada penyokong selepas tamat perlawanan berkenaan tetapi mereka terlalu letih kerana bermain di atas permukaan padang yang basah selepas hujan turun dengan lebat sebelum perlawanan bermula.

"Saya ada tanya mereka (pemain) kenapa mereka tidak mahu pergi ke tempat duduk ultra Selangor (penyokong) selepas tamat perlawanan dan mereka kata terlalu letih bermain di atas padang yang basah dan tekanan yang diberikan, saya selaku sebahagian daripada pasukan Selangor memohon maaf pada peminat yang hadir.

Lagi satu ada peraturan yang ditetapkan oleh FAM yang perlu saya ikut iaitu selepas tamat perlawanan sekiranya ada pihak yang mahu saya memberi ulasan, saya kena ikut jika tidak saya akan didenda. Jadi saya mohon maaf kepada peminat dalam hal ini," katanya dalam sidang media selepas tamat perlawanan berkenaan.

Sementara itu, beliau memuji anak buahnya yang beraksi begitu baik pada separuh masa yang pertama walaupun terpaksa bermain tanpa tonggak utama yang tidak dapat diturunkan kerana kecederaan.

Katanya, kombinasi pemain simpanan yang dimasukkan jelas menunjukkan Selangor mampu bermain tanpa pasukan utama.

"Kita tiada pasukan utama yang tetap jadi pada perlawanan ini, saya menggunakan pemain simpanan tetapi mereka menunjukkan persefahaman yang baik dan saya juga memberitahu kepada mereka untuk melupakan kekalahan kepada Felda United tempoh hari, tumpu pada PKNS FC dan ini keputusan yang kita dapat," katanya.

Dalam perlawanan malam tadi, Selangor berjaya mengutip tiga mata penuh selepas menewaskan PKNP FC 2-1 menerusi jaringan Sandro Da Silva dan Syahmi Safari manakala gol saguhati PKNP FC dijaringkan oleh Mohd Fazrul Hazli Mohd Kadri.

Artikel Berkaitan:

Dengan kemenangan itu Selangor kini melonjak ke tangga ketiga Liga Super selepas mengutip 16 mata selepas 10 perlawanan. - Bernama