Syukur, Firdaus dah boleh ke sekolah

Mohd Firdaus (tengah) bersama dua rakannya di pusat jagaan Pertubuhan Badan Kebajikan Anak-anak Yatim Darussalam di Kampung Melayu Sungai Rapat.
A
A

IPOH - Esok bakal menjadi momen menggembirakan buat Mohd Firdaus Abdullah, 12, kanak-kanak tular yang hidupnya seperti gelandangan, apabila dapat menyambung kembali sesi persekolahan selepas berhenti, Oktober tahun lalu.

Permohonan persekolahan kanak-kanak itu dibuat menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak dan mendapat kelulusan Jabatan Pendidikan Negeri untuk memulakan pembelajaran di tahun 6 di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Rapat.

Pengarah JKM negeri, Ruhaini Zawawi berkata, pihaknya sudah melengkapkan semua dokumen pengenalan diri termasuk sijil kelahiran kanak-kanak itu.

"Pada Khamis lepas, kita juga mendapat kelulusan daripada Pejabat Pendidikan Daerah untuk membenarkan Mohd Firdaus masuk ke sekolah. Insya-ALLAH, kanak-kanak ini akan mula masuk sekolah Isnin ini untuk tahun 6," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Mohd Firdaus menjalani kehidupan tidak ubah seperti gelandangan selepas tinggal seorang diri di rumah sewanya di Jalan Intan, Kampung Dato' Ahmad Said, Manjoi.

Laporan Sinar Harian, 11 April lalu.
Laporan Sinar Harian, 11 April lalu.

Dia yang sudah tidak lagi bersekolah sejak Oktober tahun lalu, tinggal sendirian selepas ibunya yang sudah bercerai, ditahan dalam satu operasi pihak berkuasa awal bulan ini.

Ketika dihubungi, Mohd Firdaus yang kini ditempatkan di bawah pusat jagaan Pertubuhan Badan Kebajikan Anak-anak Yatim Darussalam di Kampung Melayu Sungai Rapat menyatakan rasa tidak sabar untuk ke sekolah.

Menurutnya, sejak dimasukkan ke pusat jagaan itu pada 12 April lalu, dia hanya berpeluang melihat rakan-rakannya bersiap untuk ke sekolah setiap pagi.

Laporan Sinar Harian, 12 April lalu.
Laporan Sinar Harian, 12 April lalu.

"Seronok sangat bila abi (pengurus asrama) beritahu saya boleh ke sekolah, lepas ni bolehlah kami belajar dan siapkan kerja sekolah sama-sama. Semua kawan kat sini baik, tak sombong dan selalu buat saya ketawa," katanya.

Sementara itu, Pengurus Asrama, Norizan Ismail berkata, Mohd Firdaus menunjukkan perkembangan yang baik dengan mematuhi setiap disiplin ditetapkan di asrama itu tidak kekok bergaul dengan penghuni lain termasuk pihak luar yang datang melawat.

"Semua yang datang dia akan tegur, itu menyebabkan dia mudah dikenali walaupun baru seminggu di sini. Pernah secara bergurau saya tanyakan adakah dia nak balik semula ke rumahnya, dia katakan mahu terus tinggal di sini," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Budak 12 tahun tinggal sendirian dalam rumah usang

ARTIKEL BERKAITAN: Nasib Firdaus kini terbela, terima kasih rakyat Malaysia!


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia