Kelantan mahu jadi pengeluar madu kaca

Mohd Zamani (lima dari kiri) bersama peserta yang mengikuti Kursus Asas Persediaan Tanaman Nanas Siri 1 Tahun 2019 di SMK Kedondong.
Mohd Zamani (lima dari kiri) bersama peserta yang mengikuti Kursus Asas Persediaan Tanaman Nanas Siri 1 Tahun 2019 di SMK Kedondong.
A
A
A

PASIR MAS - Kelantan sedia menjadi pengeluar benih nanas jenis madu kaca yang utama di negara ini pada masa hadapan.

Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Kelantan, Mohd Zamani Md Ghani berkata, bukan itu sahaja pihaknya turut bercadang menjadikan negeri ini sebagai pengeluar utama varieti berkenaan.

"Ia amat bertepatan kerana baka (madu kaca) ini ditemui di kawasan Rantau Panjang. Varieti ini mempunyai potensi yang besar untuk kita usahakan dengan baik.

"Kita telah daftarkan madu kaca ini di bawah Pendaftaran Buah-Buahan Malaysia pada Oktober tahun lalu," katanya selepas Kursus Asas Persediaan Tanaman Nanas Siri 1 Tahun 2019.

Menurutnya, selain madu kaca, varieti MD2 turut menjadi pilihan dalam kalangan para penanam nanas di negeri ini.

"Tanaman itu mula diperkenalkan pada tahun 2016 menerusi dua projek besar berkeluasan empat hektar masing-masing di Gua Musang dan Rong Chenak, Pasir Mas.

"Tahun berikutnya (2017) kita bawa masuk projek MD2 untuk skala kecil berkeluasan 1.2 hektar bagi pekebun kecil. Sejak itu permintaan untuk projek pekebun kecil ini mendapat permintaan tinggi," katanya.

Mohd Zamani berkata, harga nanas madu kaca yang agak tinggi mampu memberikan pulangan lumayan kepada para petani.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, seramai 100 peserta menyertai Kursus Asas Persediaan Tanaman Nanas Siri 1 Tahun 2019 yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kedondong.