Projek turap jalan mega di Selangor mula bulan depan

Izham Hashim
Izham Hashim
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor akan melaksanakan kerja penurapan jalan secara besar-besaran di negeri berkenaan pada tahun ini dengan melibatkan peruntukan sebanyak RM50 juta bermula pada bulan depan.

Exco Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ir Izham Hashim berkata, projek berkenaan akan melibatkan jalan-jalan di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT).

Sehubungan itu, PBT di Selangor diminta untuk mengenal pasti dan menyenaraikan jalan-jalan kritikal di kawasan pentadbiran masing-masing yang perlu diturap bagi membolehkan tampalan dibuat bermula pada Mac depan.

Menurutnya, projek turapan secara besar-besaran itu dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh tiga bulan dan dilaksanakan untuk meningkatkan sistem jaringan jalan raya bagi memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya.

"Peruntukan telah diluluskan dan kerajaan negeri telah meminta setiap PBT muktamadkan kawasan mana yang terbabit sebelum menghantar senarai jalan berlubang.

“Projek tampalan jalan mega ini bukan sekadar untuk menampal jalan sahaja tetapi menurap keliling yang berlubang dan kita jangka projek ini selesai dalam tempoh tiga bulan,” katanya kepada Sinar Harian.

Terdahulu, kerajaan negeri Selangor mengumumkan peruntukan sebanyak RM145 juta untuk meningkatkan sistem jaringan jalan raya di negeri berkenaan menerusi Bajet 2023.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan berkata, sebanyak RM40.98 juta diagih kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk melaksanakan pembinaan jalan baharu.

Menurutnya, ia melibatkan beberapa lokasi seperti Kampung Sri Indah A ke Hospital Sungai Buloh, jalan sambungan Sungai Kelambu-Genting Sanyen dan Kampung Ulu Chuchuh ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).