Abdul Latif Bandi bebas 37 tuduhan suapan

Abdul Latif (tengah) bersama anaknya, Ahmad Fauzan (dua, kanan) dan Amir (dua,kiri) ceria selepas hakim membacakan keputusan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini. - Foto Sinar Harian
Abdul Latif (tengah) bersama anaknya, Ahmad Fauzan (dua, kanan) dan Amir (dua,kiri) ceria selepas hakim membacakan keputusan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini. - Foto Sinar Harian
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMASKINI] Mahkamah Sesyen di sini, hari ini membebaskan bekas Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Abdul Latif Bandi daripada 37 pertuduhan melibatkan wang suapan RM35.7 juta.

Hakim, Kamarudin Kamsun melepas dan membebaskan bekas ADUN Endau itu bersama dua lagi tertuduh, Ahmad Fauzan Hatim Abdul Latif dan Amir Sharifuddin Abdul Raub.

Kamarudin ketika penghakimannya berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Abdul Latif sebagai tertuduh kedua.

"Tertuduh kedua dilepas dan dibebaskan. Wang jaminan dikembalikan," katanya yang turut membacakan keputusan sama kepada tertuduh pertama, Amir dan tertuduh ketiga yang juga anak Abdul Latif, Ahmad Fauzan.

Sebelum ini, Abdul Latif, Ahmad Fauzan dan Amir berdepan 33 pertuduhan di bawah Seksyen 16(a)(B) dan Seksyen 28(c) Akta SPRM 2009 serta empat pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.

Peguam bela Abdul Latif dan Ahmad Fauzan, Abd Rahim Ali berkata, keputusan itu dipercayai sangat adil kepada ketiga-tiga tertuduh selepas berdepan kes itu selama dua tahun.

"Akhirnya mereka menerima keputusan yang kami percaya sangat adil dan ini hasil kerjasama pasukan peguam. Namun pihak pendakwaan masih berpeluang merayu dalam tempoh 14 hari daripada hari ini jadi kita tunggulah.

"Keputusan hakim melepas dan membebaskan ketiga-tiga tertuduh tanpa perlu membela diri ini adil untuk mereka setelah selama dua tahun berdepan kes ini. Masanya untuk mereka memulihkan nama mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, hakim memberikan sembilan alasan atas keputusan tersebut antaranya, mahkamah tidak boleh mempertimbangkan keterangan saksi yang mencurigakan dan elemen-elemen pertuduhan gagal dibuktikan dan saksi-saksi daripada pendakwaan jelas menyatakan mereka sendiri yang melantik Amir sebagai konsultan tanpa paksaan.

"Mahkamah juga mendapati tiada niat jahat bersama antara Abdul Latif dan Amir. Kemudian mahkamah juga dapati peranan Amir bukan perancang dan bukan penyudah serta tiada keterangan menunjukkan bahawa memo-memo ini sengaja tidak dimasukkan dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

"Keputusan menerima atau menolak sumbangan kepada tabung perumahan negeri itu secara kolektif bukan Abdul Latif seorang. Pendakwaan juga tidak memanggil mana-mana saksi daripada ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri jadi ini menimbulkan satu kecurigaan. Terdapat saksi yang dicurigai kredibilitinya. Pinjaman wang pula ketika itu disifatkan wajar kerana disertai dokumen," katanya.

Kes yang dituduh kali pertama pada 14 Jun 2017 itu melibatkan 63 saksi bersama 1,071 eksibit dan 40 hari perbicaraan.