ECRL atas landasan baharu

A
A
A

SEPERTI diumumkan 12 April lalu, persetujuan telah dicapai di antara Malaysia dan China untuk meneruskan Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dengan syarat-syarat baharu yang lebih saksama dan lestari.

Dengan itu pembinaannya yang ditangguhkan selepas kemenangan Pakatan Harapan (PH) 9 Mei lalu akan disambung semula. Seperti ramai tahu, kita bukan tidak ada pilihan, ada. Pertama kita teruskan projek ini mengikut perjanjian lama. Kedua kita batalkan dan ketiga kita rundingkan semula.

Kalau teruskan mengikut perjanjian tahun 2016, kita akan menanggung kos pembinaan yang sangat tinggi iaitu RM66.7 bilion. Panjang laluan adalah 688 kilometer dan kos membina setiap kilometer RM95.5 juta.

Sebanyak 85 peratus daripada kos projek atau RM56.7 bilion akan dipinjam daripada Bank Eksport dan Import (EXIM) China. Pinjaman sebanyak RM39.1 bilion sudah pun ditandatangani.

Kita boleh menggunakan pilihan kedua iaitu membatalkannya. Pada pandangan umum inilah cara paling mudah dan paling logik kerana waktu kempen pilihan raya tahun lalu inilah yang PH kata ia akan buat kalau menang.

Tetapi kalau mengambil jalan itu, kita menanggung risiko diheret ke mahkamah timbang tara antarabangsa dan kalau kalah, kita terpaksa membayar ganti rugi hingga RM20 bilion.

Kita tidak dapat apa-apa sebaliknya membakar RM20 bilion dan bagi habuan percuma kepada China.

Soal yang kita patut tanya ialah mengapa pemimpin Barisan Nasional (BN) merundingkan dan menerima syarat yang sedemikian rupa? Bukan itu sahaja, kalau kita batalkan projek itu, perhubungan dengan China tentu akan menjadi keruh dan ini boleh memberi kesan buruk kepada perdagangan dua-hala.

Artikel Berkaitan:

China ini adalah rakan perniagaan kita yang kedua terbesar selepas Singapura. Lebih besar daripada Amerika Syarikat dan Jepun. Jadi kita putus untuk mencari jalan tengah iaitu merundingkan semula perjanjian zaman BN itu.

Untuk tujuan tersebut, kerajaan melantik Tun Daim Zainuddin sebagai wakil kita sebab pengalamannya yang luas sebagai perunding antarabangsa dan mempunyai perhubungan akrab dengan China.

Boleh jadi banyak orang tidak tahu bahawa sejak usia dua puluhan lagi Daim telah mula terlibat dengan penyelesaian krisis politik, bermula dengan krisis Sarawak pada tahun 1966, dan seterusnya menjadi wakil perunding belakang tabir bagi banyak isu dan masalah yang dihadapi oleh negara.

Hasil rundingan Daim itu adalah Perjanjian Tambahan yang lebih baik di mana kos dikurangkan kepada RM44 bilion iaitu 32.8 peratus atau penjimatan sebanyak RM21.5 bilion. Kos setiap kilometer dikurangkan daripada RM95.5 juta kepada RM68.6 juta.

Walaupun jarak dikurangkan kepada 640 kilometer tetapi ia melalui lebih banyak negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya. Ia mempunyai 20 buah stesen bermula di Kota Bharu dan berakhir di Pelabuhan Kelang.

Laluan baharu ini mengelak sebahagian besar Banjaran Titiwangsa maka dengan itu mengurangkan kesan buruk ke atas alam semula jadi dan biosfera Orang Asli.

Di bawah perjanjian asal, China hanya bina dan bagi pinjaman. Selesai projek, China lepas tangan dan selama 20 tahun pungut hutang daripada kita. Segala beban dan kemungkinan, untung dan rugi kitalah yang tanggung. China sudah dapat jual barangnya kepada kita dan kita terhutang kepadanya selama 20 tahun.

Dengan perjanjian tambahan ini, China tidak boleh lepas tangan. Ia akan berkongsi dengan kita atas nisbah 50:50 dalam sebuah usaha sama bagi mengendalikan operasi dan penyelenggaraan projek.

Persetujuan dasar sudah dicapai iaitu Malaysia dan China juga akan mendirikan usaha sama pengilangan di sepanjang laluan ECRL, juga pada nisbah pegangan 50:50.

Pembelian lebih banyak bahan mentah Malaysia oleh China, khususnya kelapa sawit, sudah pun dipersetujui secara dasar. Malah kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bulan lalu China sudah pun membuat pembelian awal sebanyak 1.6 juta tan bernilai kira-kira RM3.69 bilion.

Ini adalah antara syarat baharu dan faedah tambahan yang diperoleh hasil rundingan semula projek tersebut yang sekali gus meringankan beban kita dan pada masa sama memberikan harapan lebih baik bahawa projek ini akan menjadi lebih lestari.

Sekali gus ia membuktikan bahawa kerajaan BN telah mengabaikan tanggungjawab dengan merundingkan perjanjian yang membebankan negara dan rakyat jelata sama ada kerana ia tidak cekap atau kerana wujud tujuan-tujuan mencurigakan.

Akhir sekali, apa yang berlaku pada 12 April itu memberi kesan langsung kepada hubungan China dengan negara-negara yang menjadi tuan rumah kepada pelaburannya di bawah projek One Belt One Road atau OBOR yang berupa projek ekonomi antarabangsanya.

Wallahuaklam.

*Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara