Beri laluan bina landasan: ADUN

Chong Sin (tiga dari kanan) ketika melakukan lawatan ke Kampung India Jalan Mengkibol, semalam.
Chong Sin (tiga dari kanan) ketika melakukan lawatan ke Kampung India Jalan Mengkibol, semalam.
A
A
A

KLUANG - Masalah beberapa kediaman penduduk termasuk kedai dan kuil di Jalan Mengkibol, di sini, yang terlibat dalam Projek Landasan Keretapi Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (PLBEGJB) akan diselesaikan secara berhemah.

ADUN Mengkibol, Chew Chong Sin berkata, beliau telah mengadakan mesyuarat dan lawatan ke kawasan terlibat bersama kontraktor, agensi kerajaan, Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan Kementerian Pengangkutan.

“Ini bagi memastikan kami dapat mencari jalan penyelesaian yang memanfaatkan kedua-dua pihak dan hasilnya beberapa keputusan dan kata sepakat dicapai bagi memastikan projek ini dapat berjalan lancar dan siap mengikut jadual.

“Antaranya dua rumah kosong di bawah jambatan Jalan Besar dan Pusat Perlindungan Anjing Terbiar akan dikosongkan bagi meletakkan jentera berat oleh kontraktor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan di Jalan Mengkibol, di sini, semalam.

Menurutnya, RAC juga bersetuju memasukkan dua rumah tersebut ke dalam senarai permohonan Skim Ex-Gratia Kementerian Pengangkutan manakala Pusat Perlindungan Anjing Terbiar akan dipindahkan ke tempat kosong yang ditaja oleh seorang individu di Chamek.

“Bengkel Kereta Siva berhadapan Taman Delima pula, Majlis Perbandaran Kluang (MPK) akan menyewa sebuah rumah kedai baharu siap dibina kepada pemiliknya supaya mereka dapat berpindah.

“Ranhill SAJ Sdn Bhd (Ranhill SAJ) juga akan menyediakan kemudahan air secepat mungkin,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, enam rumah penduduk di Kampung India Jalan Mengkibol, di sini, akan dipindahkan di lot tanah di CEP Chamek yang diberikan Pejabat Tanah Kluang.

Katanya, dua pemilik rumah lagi di kawasan sama disaran mengecilkan tapak ternakan ayam dan memindahkan kolam najis dari belakang ke tepi rumah.

“Sementara itu dua daripada tiga kuil di sebelah landasan akan digabungkan dan Pejabat Tanah Kluang juga telah memberikan tapak ganti di CEP Chamek dan kuil ini akan dipindahkan selepas acara sembahyang pemindahan dilakukan,” katanya.

Menurutnya, PLBEGJB ini dijangka siap pada November 2021 dan beliau berharap projek berskala mega ini akan memberi manfaat positif terhadap pembangunan ekonomi di daerah Kluang.