Al Quran manual cara hidup umat Islam terbaik, kata Mujahid

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-61 Tahun 1440 Hijrah/ 2019 Masihi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur malam ini. - Foto Bernama
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-61 Tahun 1440 Hijrah/ 2019 Masihi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur malam ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Syarat utama untuk mengembalikan umat Islam sebagai umat terbaik adalah dengan kembali kepada al-Quran sebagai manual cara hidup manusia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, Islam datang dengan membawa solusi dan menawarkan kehidupan yang lebih baik dengan tema 'Rahmatan lil alamin' atau rahmat untuk semua selaras dengan hadis sahih daripada Abu Soleh RA.

"Kalimah al-rahmah itu sendiri bermaksud kasih sayang, lembut, bersedia untuk berkorban, dan bersedia untuk melindungi.

"Bagi memanifestasi nilai rahmah dalam membentuk kehidupan yang harmoni, adil dan sejahtera, ada tiga pra-syarat untuk menampung tertegaknya nilai ini iaitu kemuliaan akhlak, kesejagatan Islam dan kemanusiaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan dan Pengurniaan Hadiah Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-61di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Turut berkenan berangkat ke majlis tersebut Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Siti Hasmah Mohd Ali dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim.

Mujahid berkata, perkara pertama ialah akhlak yang menjadi faktor bagi menentukan apa yang baik dan buruk serta pendidikan jiwa untuk melaksanakan perintah ALLAH dan tanpa nilai akhlak, gagasan mulia rahmah itu sukar untuk dilaksanakan.

"Kedua ialah kesejagatan Islam yang meliputi semua makhluk termasuk memberi rahmat kepada binatang dan alam sekitar.

Artikel Berkaitan:

"Ketiga iaitu kemanusiaan yang memberi erti bahawa rahmat ALLAH seolah-olah tidak memberi makna apa-apa jika kemanusiaan atau sifat insaniyyah tidak diberi perhatian," ujarnya.

Tegas beliau, ketiga-tiga perkara itulah yang menjadi teras utama nilai rahmah yang secara konsisten ditunjukkan serta dipamerkan oleh Nabi Muhammad SAW.