Negeri Sembilan aibkan Kelantan

Pemain Kelantan, Mohd Fauzi Roslan (kanan) pemain Negeri Sembilan, L Kalaiharasan pada pertemuan Liga Premier di Kota Bharu, sebentar tadi.
Pemain Kelantan, Mohd Fauzi Roslan (kanan) pemain Negeri Sembilan, L Kalaiharasan pada pertemuan Liga Premier di Kota Bharu, sebentar tadi.
A
A
A

KESEBELASAN pasukan Negeri Sembilan berpesta gol apabila membelasah Kelantan 5-2 pada saingan Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, sebentar tadi.

Jaringan hatrik Muhamad Ferrris Danial Mat Nasir selain satu gol masing-masing sumbangan Jose Barros Neto dan Mohd Ridzuan Abdunloh Pula memastikan skuad kendalian Mohd Zan Mat Aris ceria membawa pulang tiga mata berharga, pada pertemuan tersebut.

Ia merupakan kekalahan terbesar dialami skuad The Red Warriors pada musim ini sekali gus menyaksikan mereka kekal di dasar liga.

Tuan rumah yang turun dengan misi memburu kemenangan hampir di depan ketika permainan baharu memasuki minit ketujuh namun rembatan David Rowley hasil sepakan percuma Flavio Beck Junior ditampan pertahanan lawan.

Seminit berselang, pelawat membalas serangan menerusi Muhamad Ferris Danial yang mudah memperdayakan Mohd Khairul Asyraf Ramli tetapi percubaannya sedikit serong di sebelah kanan gawang.

Bekas penyerang Harimau Muda itu bagaimanapun berjaya menebus kekecewaannya apabila merembat masuk gol pembuka tirai hasil hantaran Barros Neto, pada minit ke-12.

Namun kelebihan tersebut tidak bertahan lama apabila sepakan bebas Beck Junior daripada luar kotak penalti terus menerjah jaring menjadikan kedudukan 1-1, tiga minit kemudian.

Pelawat yang tersentak dengan jaringan itu bangkit mengatur gerakan tetapi tandukan tajam Matheus Vila Real digagalkan penjaga gol, Damien Lim sekali gus terselamat kubu akhir Kelantan daripada dibolosi, pada minit ke-18.

Artikel Berkaitan:

Aksi kembali rancak dipamerkan kedua-dua pasukan dengan giliran pemain tengah tuan rumah, Mohd Khairul Rizam Che Soh menguji tetapi percubaannya tersasar pada minit ke-24 manakala Negeri Sembilan membalas menerusi Mohd Ridzuan tetapi diselamatkan Damien, empat minit kemudian.

Ketika aksi tampak berkesudahan terikat seri, Muhamad Ferris Danial sekali lagi mencuri perhatian apabila menolak masuk gol kedua hasil hantaran Barros Neto, pada minit ke-43 memberikan kelebihan buat Negeri Sembilan mendahului 2-1, pada babak pertama.

Bersambung babak berikutnya, Negeri Sembilan tidak menunggu lama untuk mengukuhkan apabila Muhamad Ferris Danial mengutip bola umpanan hasil gerakan menarik Barros Neto dengan meledak jaringan hatrik peribadinya, pada minit ke-50.

Skuad Jang terus menjarakkan kedudukan apabila Barros Neto mencetak nama selaku penjaring gol dengan menghukum kepincangan benteng pertahanan sebelum merembat masuk, empat minit kemudian.

Tuan rumah semakin tertekan apabila Mohd Ridzuan mudah menewaskan pertahanan Kelantan di dalam kotak penalti sebelum menolak masuk gol kelima, pada minit ke-56.

Pemain gantian Kelantan, Mohd Hakimi Abdullah berjaya merapatkan jurang pada masa kecederaan namun sudah terlewat memaksa skuad kendalian Yusri Che Lah akur dengan kekalahan tersebut.