71 pekerja asing kilang pintu ditahan

No Image Caption
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang menahan 71 warga asing yang bekerja di sebuah kilang membuat pintu yang terletak di kawasan perindustrian Juru, di sini, atas pelbagai kesalahan.

Ketua Bahagian Penguatkuasa JIM Pulau Pinang Kholijah Mohamad berkata dalam serbuan bermula pukul 10 pagi membabitkan 60 pegawai dan anggota penguatkuasa itu semalam, pihaknya memeriksa seramai 100 pekerja tempatan dan warga asing yang bekerja di kilang tersebut.

"Hasil pemeriksaan seramai 71 pekerja warga asing di kilang itu ditahan, kerana pelbagai kesalahan antaranya tiada dokumen perjalanan yang sah, tiada permit kerja, serta menyalahguna pas lawatan sosial," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata semua yang ditahan ialah pekerja lelaki, dan mereka terdiri daripada 57 warga Bangladesh, 11 warga Vietnam serta masing-masing seorang warga Indonesia, Pakistan dan Myanmar.

Beliau berkata semua mereka berusia 25 hingga 45 tahun itu dipercayai bekerja di situ sejak tahun lepas dan mereka dibawa balik ke pejabat JIM Pulau Pinang untuk siasatan lanjut.

"Kami turut memanggil pemilik kilang itu untuk disiasat, dan jika sabit kesalahan pengurusan kilang itu bakal berhadapan dengan denda sebanyak RM710,000 atau dipenjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: