Malaysia sertai Misi Ekonomi Minyak Sawit di Arab Saudi Isnin ini

Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin - Foto Bernama
Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Malaysia akan menyertai Misi Ekonomi Minyak Sawit yang akan membincangkan isu komoditi itu, kayu balak dan perabot selama lima hari di Arab Saudi bermula Isnin ini, kata Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Beliau berkata, misi berkenaan akan membincangkan hubungan perdagangan antara Malaysia dan Arab Saudi dalam usaha meningkatkan pelaburan tiga komoditi itu pada masa hadapan selain meneroka pasaran baharu di negara Timur Tengah dan benua Afrika.

Katanya, usaha itu bertujuan memastikan simpanan bekalan minyak sawit negara yang ketika ini berjumlah 3.2 juta tan dapat dijual ke pasaran sedia ada dan baharu serta mewujudkan rantaian pembekalan dan permintaan yang sihat agar harga pasaran komoditi itu dapat ditingkatkan.

"Sebanyak 10 kertas kerja akan dibentangkan pada seminar dan dagangan minyak sawit selama dua hari dalam misi yang turut disertai kementerian, Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Ankara University.

"Usaha ini penting untuk memastikan simpanan bekalan minyak sawit negara berada pada tahap yang sihat iaitu sekitar dua juta tan yang bukan sahaja mampu menampung permintaan dan pembekalan luar, malah dalam negara," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Menyusur Akar di Bachang di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata jumlah nilai dagangan Malaysia dengan Arab Saudi pada tahun lepas mencecah RM21.67 bilion, meningkat 45.2 peratus berbanding 2017 dan berharap misi itu akan membantu meningkatkan nilai dagangan terbabit.

Katanya, daripada jumlah itu, nilai eksport negara berjumlah RM3.77 bilion, berkurangan 11 peratus manakala nilai import pula meningkat 67.5 peratus kepada RM17.9 bilion.

Shamsul Iskandar berkata bagi sektor pelaburan dengan Arab Saudi, sebanyak 17 projek pembuatan melibatkan pelaburan berjumlah RM5.126 bilion direkodkan tahun lepas yang dijangka menawarkan kira-kira 2,500 peluang pekerjaan untuk rakyat.

Artikel Berkaitan:

Sehingga kini, sebanyak tujuh projek melibatkan nilai pelaburan sebanyak RM58 juta telah dilaksanakan, kata beliau.

"Produk yang kita eksport ke Arab Saudi seperti minyak sawit dan produk berasaskan sawit iaitu sebanyak 25 peratus daripada nilai eksport negara, barangan elektrik (12.7 peratus), makanan proses (10 peratus), peralatan jentera (8.7 peratus), produk pembuatan berasaskan minyak sawit (6.4 peratus)," katanya.

Beliau berkata Arab Saudi merupakan rakan dagang negara kedua di Timur Tengah selepas Emiriah Arab Bersatu (UAE) manakala bagi sektor import, Arab Saudi merupakan negara ketiga selepas UAE dan Turki. - Bernama