Kerajaan setuju lanjut tempoh penguatkuasaan skim kawalan harga

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (kiri) merangkap Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu menunjukkan barangan yang dibeli Mohd Roslan Lod (dua, kanan) pada Program Gerakan Kepenggunaan Masjid (Gema) Peringkat Kebangsaan 2019 di pekarangan Masjid Al-Halimi Bandar Baharu hari ini. - Foto Bernama
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (kiri) merangkap Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu menunjukkan barangan yang dibeli Mohd Roslan Lod (dua, kanan) pada Program Gerakan Kepenggunaan Masjid (Gema) Peringkat Kebangsaan 2019 di pekarangan Masjid Al-Halimi Bandar Baharu hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KULIM - Kerajaan secara prinsip bersetuju melanjutkan tempoh penguatkuasaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) sempena Hari Raya Aidilfitri pada Jun depan, berbanding antara 14 dan 15 hari sebelum ini dalam usaha mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bagaimanapun berkata pelaksanaan lanjutan tempoh itu akan diputuskan selepas mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan.

“Kita setuju bermula Hari Raya ini, bilangan hari ditambah dari 15 hari menjadi beberapa hari lagi. Perkara tersebut akan diputuskan kerana penetapan itu akan turut membabitkan penglibatan kami dengan pihak peniaga, agensi kawal selia lain seperti Jabatan Pertanian dan sebagainya.

“Ia penting bagi memastikan jaminan bekalan mencukupi sebelum kita menguatkuasakannya kerana ia tertakluk kepada Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Gerakan Kepenggunaan Masjid (GEMA) peringkat kebangsaan di Bandar Baharu dekat sini hari ini.

Saifuddin berkata di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, kementeriannya diberikan kuasa untuk menyenaraikan barangan kawalan dan juga menetapkan tempoh hari penguatkuasaan.

“Tujuannya supaya pengguna rasa lebih selesa, terjaga dan terjamin bahawa barangan utama yang selalu mereka beli dapat diperoleh pada harga murah dan munasabah,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan turut bercadang memperluaskan bilangan barang yang dikawal ke dalam senarai skim berkenaan agar dapat memberi banyak pilihan kepada pengguna membeli pada harga lebih murah.

“Kerajaan mendukung usaha peniaga menawarkan barangan mereka, namun di sebalik mengambil keuntungan, kita juga ada tanggungjawab untuk ikut serta membantu masyarakat melalui cara tersebut,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, katanya GEMA dilaksanakan secara program perintis di 15 masjid terpilih daripada 6,400 masjid di seluruh negara sejak Januari lepas.

Beliau berkata, program itu sebagai inisiatif menggerakkan tenaga kariah masjid untuk meningkatkan kesedaran ilmu kepenggunaan selain dapat mengurangkan kos sara hidup rakyat melalui tawaran barangan keperluan pada harga murah.

“Ini siri ketujuh program GEMA diadakan dan kali ini di Bandar Baharu, Kulim di mana masyarakat di sini dapat membeli beras, minyak, bawang besar dan ayam pada harga jauh lebih murah berbanding harga pasaran...kita sasarkan kesemua 6,400 masjid ini dapat melaksanakan program GEMA," katanya. - Bernama