X

Kindly register in order to view this article
!

Kementerian ingatkan pesawah jangan guna benih padi tidak sah

Tze Tzin (tengah) bersama pengusaha dan pesawah padi selepas merasmikan kempen penggunaan benih padi sah peringkat Negeri Pulau Pinang, semalam.
A
A

KEPALA BATAS - Golongan pesawah padi di negara ini diingatkan supaya tidak sama sekali menggunakan benih padi yang tidak sah atau tidak berdaftar di bawah Skim Pengesahan Benih Padi (SPBP) bagi mengelak risiko penyakit Hawar Bulir Bakteria (BPB).

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin berkata, penggunaan benih padi yang tidak sah bukan sahaja boleh mengakibatkan pertumbuhan padi yang tidak seragam, malah boleh menyebabkan hasil padi berkurangan sehingga 70 peratus selain berisiko percampuran varieri, pencemaran benih rumpai dan berpenyakit.

Menurutnya, sehingga 20 Mac tahun ini penyakit BPB telah merebak ke semua negeri, malah di Pulau Pinang sebanyak 653,419 hektar jelapang padi daripada 12,782 hektar telah terjejas akibat penyakit ini.

"Hasil siasatan yang dilakukan kita dapati penyakit ini berlaku disebabkan ada di kalangan pesawah yang menggunakan padi yang tidak sah selain menggunakan cara lama dalam proses penanaman padi.

"Tindakan ini bukan sahaja menyebabkan penghasilan padi mereka berkurangan malah ia menyebabkan pengusaha dan pesawah padi lain turut terjejas akibat terkena bakteria ini," katanya pada sidang media selepas melancarkan Kempen Penggunaan Benih Padi Sah Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini.

Turut hadir, Pengarah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Pulau Pinang, Noor Mazirah Teh dan Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian Pulau Pinang, Shahbani Ismail.

Tze Tzin berkata, kerajaan melaksanakan kempen ini bagi memberikan informasi dan kesedaran kepada petani mengenai pentingnya penggunaan padi yang sah bagi membanteras wabak penyakit berkenaan.

Beliau berkata, penggunaan benih padi yang sah adalah satu langkah amalan pertanian baik bagi memastikan pengeluaran padi daripada sumber benih yang berkualiti, ketulenan varieti lebih terjamin selain mengurangkan populasi padi angin.

Menurutnya, pengeluaran benih padi yang sah dikawal pengeluarannya mengikut prosedur di bawah Skim Pengesahan Benih Padi Jabatan Pertanian serta mendapat kelulusan daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi).


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!