Kadar kebolehpasaran graduan TATIUC meningkat

Mohd Shafaruddin Mustaffa
Mohd Shafaruddin Mustaffa
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kadar kebolehpasaran graduan Kolej Universiti TATI (TATIUC) meningkat, apabila 41.99 peratus graduannya berjaya mendapatkan pekerjaan sebelum graduasi pada tahun lalu.

Pendaftar TATIUC, Mohd Shafaruddin Mustaffa berkata, berbanding tahun 2017, peratusan graduan yang bekerja sebelum graduasi adalah 30.97 peratus.

Menurutnya, peningkatan itu membuktikan institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri itu kini berada di landasan tepat dalam melahirkan graduan berkemahiran tinggi untuk pasaran kerja dan permintaan industri.

“Jika dilihat sepanjang tahun lalu, jumlah pelajar yang belum graduasi melanjutkan pelajaran adalah 19.69 peratus, 2.10 peratus pula meningkatkan kemahiran mereka, 2.10 peratus menunggu penempatan pekerjaan manakala 34.12 peratus belum bekerja.

“Peratusan yang belum bekerja itu menurun, berbanding tahun 2017, iaitu 50.59 peratus. Ini menunjukkan ramai yang berjaya mendapatkan pekerjaan dalam bidang yang dipelajari sejurus selepas tamat pengajian walaupun ketika itu belum lagi bergraduasi,” katanya kepada Sinar Harian.

Jelas Shafaruddin, antara faktor utama graduan TATIUC laris di pasaran adalah kelebihan pembelajaran mereka yang ‘hands on’, menjadikan mereka mahir dan memenuhi kehendak industri.

Malah katanya, TATIUC bekerjasama dengan 1,400 pemain industri dalam semua bidang, sekali gus membantu pelajarnya untuk mudah mendapatkan pekerjaan.

“Semasa latihan praktikal juga, kita memang dedahkan pelajar dengan industri yang mereka patut terlibat, sebab itu mereka boleh fokus. Mereka didedahkan dengan industri sebenar, itu adalah kelebihan pelajar TATIUC,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, institusi itu menawarkan dua program sarjana, 10 program ijazah sarjana muda, 13 program diploma, dan dua program asasi dalam pelbagai bidang, antaranya ialah pembuatan, automasi, elektrikal, ujian tanpa musnah, kimia, polimer, komputer, pengurusan teknologi dan media grafik.

Bermula tahun ini juga katanya, mereka yang menyambung pengajian di TATIUC berpeluang untuk mendapat Biasiswa Terengganu Sejahtera yang baharu sahaja diperkenalkan.

Jelas beliau, bantuan itu meliputi biasiswa penuh dan elaun sara hidup berjumlah RM3,230 sepanjang pengajian untuk program asasi manakala bagi ijazah membabitkan elaun sara hidup RM1,000 setiap semester dan diploma pula (RM800 setiap semester).