Terengganu cipta nama dalam Malaysia Book Of Records

Dr Samsuri (tengah) bergambar bersama peserta Program Terengganu Go Clean 2019 selepas menerima sijil MBOR di Pantai Teluk Ketapang.
Dr Samsuri (tengah) bergambar bersama peserta Program Terengganu Go Clean 2019 selepas menerima sijil MBOR di Pantai Teluk Ketapang.
A
A
A

KUALA NERUS - Program Terengganu Go Clean 2019 diadakan serentak di 30 lokasi di seluruh negeri mencatatkan sejarah dengan penyertaan melibatkan seramai 16,390 peserta.

Jumlah penyertaan itu berjaya direkodkan di dalam Malaysia Book Of Record (MBOR) sebagai program gotong-royong dengan jumlah penyertaan teramai.

Program dilaksanakan bagi memastikan keindahan tempat-tempat pelancongan serta tumpuan awam bersih dan bebas sampah dengan mendapat kerjasama pelbagai agensi dan jabatan.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kolaborasi antara pelbagai jabatan, agensi dan NGO serta masyarakat itu mampu untuk mewujudkan persekitaran yang bersih dan ceria.

"Dan juga perkara yang paling penting ialah bagaimana menimbulkan kesedaran untuk melakukan proses seterusnya bagi memastikan ia berkembang setiap masa dan bukan masa kempen sahaja.

"Amalan menjaga kebersihan merupakan amalan penting dan kemajuan negara serta masyarakat juga berkait rapat dengan kebersihan dan ia wajar dibudayakan sebagai cara hidup," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perasmian Go Clean Peringkat Negeri Terengganu di Pantai Teluk Ketapang, di sini, hari ini.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan putera baginda, Tengku Muhammad Mua'az turut berkenan mencemar duli berangkat menyertai program di Pantai Teluk Ketapang itu.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Yang Dipertua DUN, Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk A Rahman Yahya dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Dr Alias Razak serta Ketua Pengakap Negara, Datuk Seri Paduka Dr Shafie Mohd Salleh.

Menurut Dr Samsuri, satu perbincangan diperingkat daerah-daerah juga akan dilaksanakan bagi memastikan kesemua daerah terlibat dapat mengekalkan kebersihan pada tahap yang terbaik.

Sijil MBOR dengan jumlah penyertaan teramai 2019 disampaikan Pegawai Penganalisisnya, Nurul Fatihah Mahmood kepada Datuk A Rahman Yahya dengan disaksikan Dr Samsuri.