Mansuh, pinda akta zalim masih dalam perbincangan: KDN

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan kerajaan memutuskan untuk tidak meminda atau memansuhkan beberapa undang-undang zalim yang dibangkitkan ramai pihak sebelum ini.

Menerusi satu kenyataan, KDN menegaskan cadangan pindaan atau pemansuhan akta tersebut masih dalam perbincangan yang turut melibatkan Jawatankuasa Khas Kajian Undang-Undang dan Jawatankuasa Teknikal.

Menurutnya, dalam mengkaji akta berkenaan, jawatankuasa tersebut telah membangkitkan pelbagai isu dan pandangan yang akan diambil kira sebelum membuat sebarang keputusan.

“Buat masa ini, KDN telah selesai menyediakan dua Rang Undang-Undang (RUU) bagi pindaan Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA) dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

“Pindaan APA telah mendapat kelulusan Jabatan Peguam Negara dan akan dibawa ke Jemaah Menteri dalam masa terdekat untuk diputuskan. Ia dijangka akan dibentangkan dalam sesi sidang Dewan Rakyat akan datang.

“RUU bagi pindaan Sosma pula masih dalam semakan Jabatan Peguam Negara dan dicadang untuk dibentang dalam sesi sidang Dewan Rakyat akan datang,” menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, kementerian memaklumkan cadangan pindaan atau pemansuhan bagi akta yang lain juga masih dalam peringkat perbincangan.

Akta tersebut adalah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca), Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Pota), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (AMCP) dan Akta Hasutan 1948 masih di peringkat perbincangan.

Artikel Berkaitan:

“Ia melibatkan PDRM, Jabatan Peguam Negara dan agensi lain yang berkaitan,” menurut kenyataan berkenaan.

“Keputusan untuk meminda atau memansuhkan akta berkenaan perlu dibuat dengan teliti dan dikaji dengan mendalam supaya keselamatan negara tidak terjejas,” katanya.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) terkejut apabila PH memutuskan untuk tidak mengubah beberapa undang-undang zalim walaupun sebelum ini menubuhkan pasukan petugas khas untuk mengkajinya.

Pesuruhjaya Suhakam, Aishah Bidin yang juga anggota pasukan petugas khas berkenaan berkata demikian ketika pelancaran laporan tahunan suruhanjaya itu bagi tahun 2018.

"Apa yang menarik pada tahun lepas, terdapat satu jawatankuasa pasukan petugas khas untuk mengkaji undang-undang keselamatan termasuk Sosma, Poca, Pota dan lain-lain.

"Apa yang mengejutkan, sudah tentu, kami mempunyai banyak mesyuarat tetapi kemudiannya kami dapati hasilnya mereka tidak berniat mahu mengubah undang-undang ini.

"(Mereka cuma menggesa) moratorium bagi Akta Hasutan 1948," katanya.