'Tak mungkin dapat dibaiki dalam setahun'

Mahfuz (dua dari kanan) menyampaikan hadiah kepada pemenang yang menyertai pertandingan acara yang diadakan sempena program G-Kom.
Mahfuz (dua dari kanan) menyampaikan hadiah kepada pemenang yang menyertai pertandingan acara yang diadakan sempena program G-Kom.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerosakan yang dilakukan BN sepanjang tempoh 60 tahun tidak mungkin dapat diperbaiki hanya dalam tempoh setahun.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, kerajaan PH kini sedang berusaha meletakkan kembali negara pada landasan yang betul, dan pastinya ia memerlukan lebih masa.

Menurutnya, banyak aspek perlu dipulihkan termasuk pengurusan ekonomi, kewangan serta pentadbiran negara, dan bukan sekadar untuk memenuhi janji manifesto PRU14.

“Mana mungkin kerosakan itu dapat kita perbaiki hanya dalam tempoh setahun. Tugas kerajaan sekarang adalah untuk kembalikan Malaysia pada landasan yang betul dalam semua aspek,” katanya, selepas merasmikan program Komuniti Sihat Masyarakat Sejahtera (G-Kom) KRT Kampung Alor Gandak, di sini, hari ini.

Naib Pengerusi Amanah itu berkata, kerosakan dialami negara adalah pelbagai antaranya, aspek pentadbiran yang melibatkan dakwaan salah guna kuasa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kes perbicaraan Najib dedahkan pengurusan pincang apabila kos membina stor dapur rumah pun dibayar pada harga terlalu tinggi, ini termasuk kes penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dipercayai terlibat dengan kegiatan rasuah,” katanya.

Menurutnya, semua kerosakan dalam negara itu perlu ditangani terlebih dahulu, tanpa meminggirkan keperluan rakyat.

“Kita berjaya kesan pelbagai kerosakan yang berlaku sepanjang BN perintah, ia merangkumi banyak aspek. Sudah tentu semua masalah itu tidak dapat kita selesaikan dalam tempoh singkat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mahfuz berkata, ini termasuk proses pemutihan yang sedang berlangsung untuk mengenal pasti kepincangan pentadbiran lalu. “Pada masa sama, kerajaan turut membangunkan negara dan menjaga kebajikan rakyat,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin tegaskan, kerajaan PH memerlukan enam bulan lagi untuk memulihkan negara selepas mengambil alih pentadbiran Mei tahun lalu.

Beliau berkata, dalam tempoh itu PH perlu berdepan dengan rakyat dan memberi penerangan tepat terutama hal ekonomi agar rakyat memahami situasi.

Daim yakin dalam tempoh enam bulan lagi, banyak perkara akan menjadi lebih stabil.

Beliau turut mengaitkan kekalahan PH di PRK DUN Rantau sebahagian manifestasi kemarahan rakyat terhadap kerajaan disebabkan kenaikan harga barang, namun percaya persepsi rakyat akan bertambah baik selepas kerajaan menyelesaikan permasalahan seperti kenaikan kos sara hidup dan tunaikan janji manifesto lalu.