Elak diskriminasi, manfaatkan skim latihan kemahiran

Mahfuz (dua dari kanan) menyerahkan sijil penghargaan kepada wakil pengerusi KRT Kampung Alor Gandak selaku penganjur bersama program.
A
A

ALOR SETAR - Tidak wajar wujud diskriminasi antara pekerja tetap yang tiada kemahiran dengan pekerja kontrak berkemahiran, sebaliknya majikan disaran menyediakan latihan kemahiran kepada pekerja dengan memanfaatkan skim latihan bawah Kementerian Sumber Manusia.

Timbalan Menterinya, Datuk Mahfuz Omar berkata, majikan tidak sepatutnya meminggirkan pekerja tetap dengan beralih kepada pengambilan pekerja kontrak berkemahiran kerana pelbagai latihan disediakan untuk meningkatkan kemahiran pekerja.

Menurutnya, kebanyakan majikan tidak berbuat demikian atas faktor kos atau kekurangan pekerja.

“Sepatutnya perkara tersebut tidak berlaku sebab jika alasan majikan kerana pekerja tetap mereka tidak mahir, mereka ambil pekerja kontrak berkemahiran, majikan tetap perlu bayar gaji minima dan perlindungan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Socso),” katanya, selepas merasmikan program Komuniti Sihat Masyarakat Sejahtera (G-Kom) KRT Kampung Alor Gandak, di sini, hari ini.

Mahfuz berkata, majikan dinasihatkan agar memanfaatkan skim latihan percuma yang disediakan Kementerian kerana syarikat yang mencarum dengan Perbadanan Sumber Manusia Berhad (PSMB) layak memperoleh manfaat itu.

“Majikan ambil pekerja kontrak pun masih perlu patuhi peraturan bawah Sumber Manusia. Jadi adalah lebih baik berikan latihan kemahiran kepada pekerja tetap berbanding ambil pekerja kontrak, untuk prospek akan datang,” katanya.

Menurutnya, hanya syarikat yang mendaftar bawah PSMB layak menerima skim latihan kemahiran percuma ini.

“Masalahnya, majikan enggan kerana pekerja perlu tinggalkan tempat kerja dan sertai latihan di pusat latihan bertauliah. Ini menyebabkan majikan anggap ia satu kerugian, hakikatnya majikan akan beroleh manfaat lebih besar pada masa akan datang,” katanya.

Mahfuz berkata, sekiranya majikan yang mencarum bawah PSMB tidak memanfaatkan skim latihan itu, mereka yang kerugian kerana tidak menggunakan kemudahan diberikan.

“Kebanyakan syarikat Industri Kecil dan Sederhana (IKS) kurang menghantar pekerja mereka jalani latihan, mungkin kerana kekurangan pekerja atau bimbang berlaku peningkatan kos,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya telah meminta PSMB berbincang dengan pihak terlibat untuk mencari penyelesaian terbaik menangani masalah terbabit.

Kelmarin, sebuah portal berita melaporkan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berkata, terdapat kekurangan latihan kemahiran di kebanyakan syarikat apabila lebih ramai majikan beralih kepada pekerja kontrak.

Setiausaha Agungnya, J Solomon berkata, kebanyakan syarikat menyediakan latihan untuk pekerja sektor pengurusan, sementara sektor lain merujuk kepada program e-pembelajaran sebagai jalan singkat melatih pekerja dengan cepat dan kos minimum.

Terdahulu, laporan edisi tahunan Panduan Gaji Asia Hays menyatakan majikan kini beralih kepada pekerja sementara dan kontrak.

Laporan itu merujuk trend gaji dan pengambilan pekerja di China, Hong Kong, Jepun, Malaysia dan Singapura.

Menurut laporan itu, 27 peratus syarikat tempatan mengupah kakitangan kontrak berbanding 21 peratus pada 2017.

Lebih ramai majikan dijangka meningkatkan pergantungan mereka kepada kakitangan kontrak berbanding tahun sebelumnya, iaitu 26 peratus pada 2019 berbanding 23 peratus pada 2017.