Malapetaka ekonomi bakal berlaku jika PH tidak selamatkan TH, Felda

Mohamad . Foto: SHARIFUDDIN ABDUL RAHIM
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia dijangka berdepan malapetaka ekonomi sekiranya Kerajaan PH tidak bertindak menyelamatkan Lembaga Tabung Haji (TH) dan Felda.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, malapetaka ekonomi yang dimaksudkannya bukan hanya melanda TH dan Felda semata-mata, sebaliknya negara ini khususnya.

“Dalam suasana kewangan negara yang begini, kerajaan terpaksa menggunakan wang sebanyak RM24 bilion demi nak menyelamatkan TH dan Felda.

“Malah yang kita tahu kalau kedua-dua institusi ini tidak diselamatkan maka akan berlaku satu malapetaka ekonomi bukan hanya TH dan Felda tapi kepada Malaysia itu sendiri,” katanya pada sidang media di kementeriannya, semalam.

Beliau menegaskan, Kementerian Pertahanan buat masa ini memberi ruang kepada Kerajaan PH untuk menyelamatkan institusi Melayu yang hancur seperti TH dan Felda berbanding merancang membeli aset pertahanan yang baharu.

Menurutnya, Kementerian Pertahanan hanya akan membeli aset pertahanan mengikut keperluan dan paling penting bersandarkan kepada kemampuan kewangan negara.

Mohamad yang juga Presiden Amanah, membidas pengkritik yang menuduh PH tidak mempedulikan hal Bumiputera, Melayu dan Islam, sedangkan kerajaan menyuntik kewangan sebanyak RM24 bilion untuk menyelamatkan TH dan Felda.

“Untuk beli aset baru Kementerian Pertahanan, kita ikut keperluan dan paling penting ikut kemampuan kewangan sebab ini wang kita banyak digunakan untuk menyelamatkan TH dan Felda.

“Jadi Kerajaan PH dikatakan tidak peduli hal Bumiputera, Melayu, Islam dan sebagainya. Sebaliknya, apa yang berlaku sekarang ini RM24 bilion digunakan untuk menyelamatkan institusi Melayu yang lingkup,” bidas beliau.

Ahli Parlimen Kota Raja itu menambah, hasil rundingan dengan China, kerajaan berjaya menjimatkan kos pembinaan projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) kira-kira RM21 bilion namun, penjimatan itu tidak dapat mengisi tabung kewangan negara.

“Kita jimat misalnya ECRL boleh kurang RM21 bilion tapi penjimatan itu tidak dapat tambah kepada tabung kewangan negara kerana terpaksa pula keluar RM24 bilion untuk selamatkan penyelewengan dan juga apa yang berlaku dalam TH dan Felda,” ujar Mohamad.

Mohamad sebelum ini dilaporkan berkata, pembangkang sering menjaja naratif atau persepsi mengatakan Kerajaan PH ditunggangi bukan Melayu, bukan Islam namun kini dipegang sebahagian besar orang Melayu dan orang Islam di Malaysia khasnya di Semenanjung, tetapi tidak di Sabah dan Sarawak.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia