Nelayan maut dipanah petir

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PORT DICKSON - Seorang nelayan maut selepas dipercayai dipanah petir di Jeti Jimah Power Plant, Bukit Pelandok di sini tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, kejadian lebih kurang 12.15 tengahari itu berlaku ketika mangsa R Kannan, 39, berada di atas sebuah bot di jeti berkenaan.

"Polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada orang awam lebih kurang jam 1 tengah hari.

"Mangsa yang beralamat di Kampung India, Bukit Pelandok kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Kampung Sawah sebelum disahkan telah meninggal dunia," katanya ketika mengesahkan laporan hari ini.

Menurutnya, siasatan terhadap badan mangsa mendapati tiada unsur jenayah selain terdapat kesan melecur pada bahagian dada mangsa.

"Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Port Dickson untuk menjalani bedah siasat dan setakat ini kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Artikel Berkaitan: