17 kematian akibat dirempuh tren tahun lalu

17 kematian direkod akibat dirempuh tren tahun lalu. Gambar kecil: Ahmad ‘Asri Khalbi
17 kematian direkod akibat dirempuh tren tahun lalu. Gambar kecil: Ahmad ‘Asri Khalbi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) merekod 17 kematian akibat dilanggar tren di pelbagai lokasi di sepanjang 1,655 kilometer jajaran kereta api, tahun lalu.

Ketua Komunikasi Korporat KTMB, Ahmad ‘Asri Khalbi berkata, selain kes maut dirempuh tren turut direkod 53 kes pelanggaran binatang ternakan, 86 kecurian peralatan dan kabel serta 14 lagi kejadian membaling batu ke arah kereta api.

Menurutnya, KTMB terpaksa menanggung kerugian hampir RM200,000 bagi menggantikan peralatan dicuri dan bagi kerja-kerja baik pulih aset akibat rempuhan membabitkan binatang ternakan.

“Setiap kali berlaku kejadian ceroboh, kecurian dan kemalangan libatkan manusia mahupun haiwan, operasi KTMB yang membawa hampir 3.29 juta penumpang sebulan ini akan terkesan.

“Pelbagai langkah proaktif diambil KTMB bagi kurangkan kes tersebut dan usaha itu akan terus dilakukan dalam memastikan insiden sedemikian tidak terus menghantui operasi tren,” katanya menerusi satu kenyataan.

Ahmad ‘Asri berkata, syarikat yang menjadi penggerak kepada hampir 5.8 juta tan kargo setahun itu turut mengadakan kempen sepanjang tahun untuk mendidik pengguna mengenai aspek keselamatan berhampiran aset kereta api seperti landasan dan stesen.

Katanya, usaha itu dilakukan dengan pelbagai cara termasuk komunikasi interaktif dengan pelanggan secara bersemuka dan menerusi pelbagai saluran media baharu.

“Taklimat keselamatan kereta api juga turut dijalankan di institusi pendidikan, kawasan tumpuan masyarakat serta pemegang taruh di segenap lapisan secara berkala.

Artikel Berkaitan:

“Kawalan Unit Polis Bantuan KTMB turut dipertingkatkan dan sehingga Disember tahun lepas, seramai 170 orang berjaya ditangkap oleh unit itu atas pelbagai kesalahan termasuk pencerobohan kawasan landasan,” katanya.