Bayi 18 bulan meninggal dunia: ALLAH bagi pinjam kejap, kata nenek

Fauziah
A
A

PADANG RENGAS - “Jatuh tu hanya penyebab, Tuhan nak bagi pinjam adik sekejap sahaja,” demikian kata nenek mangsa, Fauziah Mohd, 55.

Menurutnya, dia sekeluarga reda dengan pemergian Muhammad Aidil Amsyar Muhammad Hafizuddin, 18 bulan, yang disahkan meninggal dunia ketika di bawah jagaan pengasuh di Taman Kuala Kangsar, semalam.

“Saya terima panggilan daripada menantu kira-kira jam 9.30 pagi yang menangis teresak-esak bagi tahu adik (Aidil Amsyar) dah tak ada.

“Saya bergegas ke Hospital Kuala Kangsar untuk tahu apa sebenarnya berlaku,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Stor di sini, hari ini.

Fauziah berkata, dia tidak mengetahui cucu keduanya mempunyai masalah organ dalaman apabila mangsa tidak menunjukkan sebarang perubahan.

“Dia macam kanak-kanak biasa yang selalu aktif main-main dengan abangnya yang umur empat tahun dan saudara berhampiran rumah.

“Kami terkejut bila dapat tahu adik ada sakit dalaman pada pankreas lepas doktor beritahu hasil bedah siasat masa tuntut jenazah semalam” katanya.

Jenazah adik selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Stor kira-kira jam 1 pagi.

Fauziah meminta orang ramai merujuk kenyataan polis dan hasil bedah siasat sebelum tular berita mengenai cucunya.

“Kejadian ini melibatkan perasaan semua pihak dan hati mereka perlu dijaga.

"Ikutlah kenyataan polis dan hasil bedah siasat,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Bayi maut terjatuh ketika panjat jeriji tingkap

Terdahulu, mangsa, Muhammad Aidil Amsyar disahkan meninggal dunia pada jam 9.40 pagi ketika menerima rawatan di Wad Kecemasan, Hospital Kuala Kangsar.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati mangsa telah dijaga oleh pengasuhnya yang berusia 24 tahun sejak 1 April lalu.

"Semalam, ibunya berusia 25 tahun telah menghantar bayinya pada jam 7 pagi dalam keadaan baik sebelum dimaklumkan kejadian itu oleh ibu pengasuh yang datang ke tempat kerjanya, dua jam kemudian.

"Suspek beritahu mangsa terjatuh selepas panjat jeriji tingkap dalam bilik dan bertindak membawa mangsa ke hospital selepas dia tidak sedarkan diri," katanya.

Menurutnya, ketika kejadian, hanya suspek dan anaknya berusia 12 bulan berada di dalam rumah terbabit.