Jangan terlepas pandang Kampung Kepayang Fairpark

FB: Salah satu kampung tradisi di bandaraya Ipoh

Sebahagian penduduk kampung bergotong royong membersihkan kawasan.
Sebahagian penduduk kampung bergotong royong membersihkan kawasan.
A
A
A

IPOH - Pihak berwajib diharap tidak terlepas pandang terhadap Kampung Kepayang Fairpark berikutan kampung berkenaan adalah salah sebuah kampung tradisi di bandaraya Ipoh.

Pemangku Ketua Kampung Kepayang Fairpark (luar) Mohd Azman Azizi 54 berkata, biarpun berstatus sebagai sebuah kampung tradisi namun masih ramai yang tidak mengetahui kewujudan kampung berkenaan walaupun telah berusia lebih 100 tahun.

Justeru menurutnya, pihaknya telah merangka beberapa program tersendiri dalam usaha menjadikan kampung berkenaan lebih dikenali.

“Walaupun kampung ini adalah kampung tradisi dan telah berusia lebih daripada 100 tahun, namun kampung ini ‘tak nampak’ disebabkan pembangunan pesat di kawasan sekitar.

“Oleh itu, kita perlu anjurkan lebih banyak program agar kampung ini dapat lebih dikenali, bukan sahaja oleh warga Ipoh tetapi juga pelancong luar,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Azman berkata demikian sempena Pelancaran Gotong-Royong Kampong Bestari di Medan Perhimpunan Surau Al-Taufiqiah, Kampung Kepayang Fairpark, hari ini.

Dianggarkan seramai 50 penduduk kampung serta 100 kakitangan MBI terlibat dalam program gotong-royong berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Mohd Azman
Mohd Azman

Tambah Mohd Azizi, pihaknya nyata gembira dengan kejayaan penganjuran gotong royong itu yang diadakan buat kali pertama di kampung berkenaan.

Justeru menurutnya, diharapkan agar program sedemikian bakal berterusan selepas ini dengan melibatkan Kampung Kepayang (tengah) dan juga Kampung Kepayang (dalam) pula.

“Alhamdulillah, pagi ini kita jayakan program gotong-royong bersama dengan pihak MBI buat julung kalinya.

“Semoga penganjuran gotong-royong selepas ini akan dapat melibatkan lebih ramai penduduk dari Kampung Kepayang Fairpark (tengah) dan Kampung Kepayang Fairpark (dalam) pula,” katanya.

Sementara itu Setiausaha Bandaraya Zakuan Zakaria berkata, pihaknya berbangga dengan inisiatif daripada penduduk kampung berkenaan yang menguruskan sendiri program gotong-royong berkenaan dan dibantu dengan pihak MBI khususnya daripada segi pengangkutan (lori membuang sampah).

Menurutnya, program berkenaan sekali gus menepati matlamat MBI yang mahu memastikan kebersihan di sekitar bandaraya terjamin.

“Ini juga matlamat kita untuk pastikan pembersihan untuk banteras demam denggi dengan kekerapan kerja-kerja pembersihan di kawasan 'hotspot'.

“Untuk makluman juga sehingga 15 April kita telah adakan 48 kali gotong-royong di 1,672 lokasi. Kita juga buat pembersihan longkang. Harap warga bandaraya dapat sama-sama membantu memberikan khidmat bakti yang baik untuk pastikan bandaraya Ipoh terus Bersih, Hijau dan Maju,” katanya.