Jenama semula tak beri makna

Datuk Dr Noraini Ahmad
A
A

KUALA LUMPUR - Penjenamaan semula program yang sebelum ini dibuat Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak memberi sebarang makna kepada rakyat.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, ketika rakyat sedang bergelut dengan kemerosotan ekonomi, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sibuk merancang penjenamaan semula inisiatif, organisasi dan infrastruktur yang telah diusahakan Kerajaan BN sebelum ini.

"Daripada 'melabur' untuk menjenamakan semula, lebih baik Kerajaan PH memikirkan kaedah menangani isu ekonomi asas rakyat seperti kenaikan harga barang dan perkhidmatan walaupun cukai barang dan perkhidmatan (GST) telah lama dihapuskan.

"Sejak PH mentadbir negara, banyak peruntukan kerajaan bagi program pembangunan telah dikurangkan dan mengakibatkan kehidupan rakyat terutama mereka yang tinggal di luar bandar terjejas," katanya menerusi satu kenyataan media di sini, semalam.

Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong berkata, penjenamaan semula ini memberi implikasi negatif kepada kewangan negara di mana setiap penjenamaan semula melibatkan kos jutaan ringgit.

"Sebagai contoh, penjenamaan semula 1M4U kepada 'Impact Malaysia' menelan belanja kira-kira RM10 juta ringgit.

"Peruntukan sebanyak itu sepatutnya diguna untuk merencanakan pembangunan anak-anak muda melalui platform kesukarelawan.

"Peruntukan RM10 juta itu juga boleh digunakan untuk meneliti semula aspek pengisian dan hala tuju program melibatkan para belia yang sedia ada," ujar beliau.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan tentang kenyataan yang sering dimomokkan oleh kerajaan mengenai negara kini dibebani hutang namun mampu berbelanja besar untuk penjenamaan semula.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia