Kerajaan BN tak pernah zalimi penjawat awam: Asyraf Wajdi

Paparan Facebook Kian Ming.
Paparan Facebook Kian Ming.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah menzalimi penjawat awam ketika pemerintahannya, meskipun menyedari terdapat sebahagian daripada mereka menjadi ahli parti politik yang tidak menyokong kerajaan.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi berkata, ia berbeza dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan beliau mendakwa PH menzalimi penjawat awam malah seperti mahu mencabar kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Menurutnya, kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dr Ong Kian Ming menyatakan proses pembersihan terhadap penjawat awam perlu diteruskan bagi membuktikan dakwaan berkenaan.

“Pergerakan Pemuda UMNO kesal dan marah atas kenyataan beliau. Kerajaan perlu menjelaskan segera adakah kenyataan Kian Ming merupakan keputusan rasmi Kabinet.

“Jika benar ia keputusan rasmi Kabinet, mengapakah yang membuat pengumuman mengenainya adalah seorang Timbalan Menteri, bukan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri atau Menteri,” tulis beliau dalam laman Facebooknya.

Tegas beliau, kenyataan disuarakan Ahli Parlimen Bangi itu sepatutnya dibuat secara rasmi melalui pemimpin tertinggi kerajaan dan bukannya secara semberono dalam wawancara bersama stesen televisyen.

“Justeru, jika kenyataan beliau bukan keputusan rasmi Kabinet, Pergerakan Pemuda UMNO menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas kepada beliau kerana melampaui bidang kuasa diberi,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Asyraf menegaskan kenyataan Kian Ming menguatkan lagi persepsi dalam kalangan rakyat bahawa kerajaan kini dikuasai DAP kerana sejak dulu lagi pemimpin parti itu tidak senang dengan penjawat awam.

Artikel Berkaitan:

“Penjawat awam adalah golongan profesional yang berkecuali dan memberi sumbangan amat besar kepada pentadbiran dan pembangunan negara,” jelasnya.

Baru-baru ini, Kian Ming berkata kerajaan akan meneruskan 'proses pemutihan' dalam perkhidmatan awam.

Katanya, meskipun beliau tidak berhadapan dengan masalah untuk bekerjasama dengan kakitangan di MITI, kementerian lain masih berdepan kesukaran.

"Saya tidak nafikan kementerian lain seperti Kementeraian Komunikasi dan Multimedia memang ada cabaran yang lebih berat kerana ada ramai orang yang lebih berpihak kepada kerajaan lalu dan kita kita masih buat cleaning up process (proses pembersihan)," katanya.