Nasib keluarga Abdul Rahman dapat perhatian ketua menteri

Adly (kanan) dan Rusnah menyantuni Sokyah ketika menziarahi keluarga berkenaan di Kampung Paya Rumput Hilir di sini, hari ini.
Adly (kanan) dan Rusnah menyantuni Sokyah ketika menziarahi keluarga berkenaan di Kampung Paya Rumput Hilir di sini, hari ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Nasib sebuah keluarga yang hidup dalam kesusahan di rumah terputus elektrik dan seorang anaknya terpaksa tinggal di pondok mendapat perhatian Ketua Menteri, Adly Zahari menyatuni keluarga itu di Kampung Paya Rumput Hilir, di sini, hari ini.

Abdul Rahman Mohamad, 35, berkata, dia yang lebih dua bulan tinggal di pondok yang sebelum ini adalah bengkel motosikal milik abangnya, bersyukur dan terharu dengan kehadiran pemimpin utama negeri ke rumah mereka bagi menyelami kepayahan serta keperitan hidup mereka sekeluarga.

[ARTIKEL BERKAITAN: Terputus bekalan elektrik sejak tiga tahun lepas]

Menurutnya, dia yang kini mengambil upah membuat batu nisan menghargai sekiranya ada yang sudi untuk membantu mencari dan memberikan pekerjaan tetap bagi meneruskan kelangsungan hidup lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi semasa.

"Syukur, ada juga yang sudi datang melawat dan saya harap sangat paling utama bantulah rumah emak saya untuk dia tinggal lebih selesa dan tolong segerakan.

"Kami bukan mahu meminta-minta tapi inilah kebenarannya. Kehidupan kami dengan rumah emak yang kecil dan tak muat untuk saya tinggal hingga saya terpaksa tinggal di pondok," katanya.

Abdul Rahman
Abdul Rahman

Hadir sama pada lawatan itu, Ahli Parlimen Tangga Batu, Dr. Rusnah Aluai dan Pengerusi Persatuan, Wanita Keusahawanan dan Kemasyarakatan (PWKK) Parlimen Tangga Batu, Salmie Saludin.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Adly berkata, Parlimen Tangga Batu memberi jaminan untuk membantu dari segi mendapatkan rumah yang lebih selesa bagi keluarga Abdul Rahman dan untuk sementara waktu juga pihak berkenaan akan mencari rumah sewa lain.

Menurutnya, rumah sewa berkenaan hanyalah dalam tempoh sementara sebelum kerajaan negeri berusaha untuk mencadangkan Abdul Rahman di bawah Rumah Peduli Melaka.

"Sementara bagi bil elektrik yang tertunggak hingga mencecah RM5,000 itu, saya akan menulis surat kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi mencari penyelesaian terbaik kepada permasalahan tersebut.

"Kita melihat keluarga ini sememangnya layak dibantu, dengan rumah yang kecil namun dihuni ramai kerana itu kita akan memberi keutamaan untuk menyediakan tempat tinggal yang lebih selesa kepada mereka," katanya.

Sinar Harian semalam, menyiarkan seorang warga emas yang lumpuh Sokyah Taib, 74 terpaksa tinggal dalam kepanasan dan bergelap pada waktu malam kerana terputus bekalan elektrik yamg dianggarkan berjumlah RM5,300.