Cadangan gaji minimum diserah kepada kerajaan tahun depan

M. Kulasegaran
A
A

BENTONG - Jawatankuasa Teknikal Perundingan Gaji Minimum dijangka menyerahkan syor berhubung kadar gaji minimum baharu kepada kerajaan selewat-lewatnya Ogos tahun depan, kata Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran.

Katanya pada masa ini jawatankuasa itu masih pada peringkat mendapatkan pandangan pihak berkepentingan.

“Selepas mendapatkan kadar yang bersesuaian, jawatankuasa berkenaan akan mengemukakan cadangan tersebut kepada saya untuk dibentangkan kepada jemaah menteri sebelum diputuskan dan diumumkan kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kem Kesihatan Karak di Sekolah Menengah Kebangsaan Karak Setia, di sini hari ini.

Kulasegaran diminta mengulas desakan Majlis Belia Malaysia (MBM) agar kerajaan Pakatan Harapan meningkatkan kadar gaji minimum kepada RM1,500 bagi meringankan beban yang ditanggung rakyat terutamanya golongan muda.

Presiden MBM Jufitri Joha sebelum ini dilaporkan berkata kadar sedia ada sebanyak RM1,100 tidak mencukupi berikutan peningkatan kos sara hidup sekarang.- Bernama