Pemandu peribadi hutang lima ah long RM30,000

Harun (baju hijau) menunjukkan laporan polis yang dibuatnya kepada Chee Boon ketika bertemu di pejabatnya, di sini, hari ini.
Harun (baju hijau) menunjukkan laporan polis yang dibuatnya kepada Chee Boon ketika bertemu di pejabatnya, di sini, hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pemandu peribadi berdepan tunggakan hutang ah long sebanyak RM30,000 selepas membuat pinjaman dari lima syarikat lintah darat yang dipercayai mempunyai kaitan sesama sendiri.

Menurut mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Harun, 33, episod ngeri hidupnya itu bermula apabila dia mengambil keputusan membuat pinjaman sebanyak RM3,000 dari sebuah syarikat pinjaman wang berlesen di Ulu Tiram pada 2015.

Nasib kemudiannya terus tidak menyebelahi lelaki itu apabila pinjaman yang diberikan itu berubah daripada perjanjian asal yang mana kadar 'bunga' dikenakan setiap bulan dilihat terus meningkat.

"Saya nekad buat pinjaman sebab perlukan belanja tambahan. Masa tu gaji saya memang tak cukup dan kami sekeluarga nak buat persediaan sambut Hari Raya Aidilfitri.

"Mulanya, cara ini (pinjaman) pun kawan saya yang syorkan, sebab dia pun pernah buat. Jadi saya fikir kalau buat pinjaman sikit mungkin saya boleh tanggung, tapi tak sangka jadi macam ni.

"Bila meminjam, kita kena bagi kad ATM dan mereka akan potong jumlah ditetapkan ikut perjanjian. Tapi makin lama saya tengok mereka potong makin banyak," katanya ketika ditemui semasa membuat aduan di Pejabat Ketua Biro Aduan MCA Johor, Michael Tay Chee Boon, di sini, hari ini.

Harun berkata, akibat pemotongan hutang terlalu tinggi yang dikenakan syarikat terbabit, kehidupan keluarganya menjadi semakin sukar selain terus dibebani masalah lain.

Katanya, masalah itu kemudiannya dilihat boleh selesai apabila dia menerima satu panggilan daripada nombor tidak dikenali yang mana menawarkan dirinya menyelesaikan masalah hutang daripada pihak sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Bila tengah terdesak macam ini, tiba-tiba saya dapat pesanan ringkas daripada sebuah syarikat lain yang tawarkan jalan untuk saya selesaikan hutang. Jadi saya pun setuju.

"Tapi bila dah buat bayaran, tempat pertama saya pinjam maklumkan hutang saya dah meningkat kerana lewat bayar. Sekarang saya berhutang dengan dua tempat pula," katanya.

Katanya, terdesak dengan pilihan yang ada untuk mencari jalan penyelesaian berhubung kemelut itu, dia akhirnya membuat tiga lagi pinjaman dari syarikat berbeza sehingga tahun lalu.

"Saya dah tak ada jalan lain, saya juga dah beberapa kali pergi ke bank untuk dapatkan pinjaman selain bertanya kepada keluarga terdekat. Tapi semuanya ditolak.

"Saya selesaikan pinjaman di beberapa tempat, tapi disebabkan saya meminjam lagi, hutang terkumpul dah menjangkau RM30,000. Sekarang setiap bulan saya kena bayar kira-kira RM2,000 untuk selesaikan hutang di semua tempat," katanya.

Sementara itu, Chee Boon berkata, pihaknya akan mengadakan rundingan bersama kesemua syarikat berkenaan untuk meminta mereka merendahkan kadar bunga yang dikenakan.

"Saya dah berhubung dengan mereka dan mungkin akan buat pertemuan. Sebab sekarang ini mangsa membayar hutangnya tetapi cara mereka meninggikan kadar bunga sesuka hati itu tidak boleh.

"Membuat pinjaman dengan ceti memang kesilapan sendiri, tetapi dari segi lain kita tidak tahu apa yang mereka ini alami, jika pinjaman bank pun tidak dapat dan tiada sumber lain sesiapa sahaja boleh buat kesilapan," katanya.