[VIDEO] 'Hanya libat parti tandatangan perjanjian Kerajaan Perpaduan'

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli
A
A
A

SHAH ALAM - Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan kali pertama yang diadakan pada Selasa lalu hanya melibatkan parti-parti yang memeterai perjanjian pakatan Kerajaan Perpaduan.

Berikut merupakan respons Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli apabila ditanya mengapa Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) tidak dijemput untuk menyertai mesyuarat tersebut.

Memetik laporan sebuah portal, Rafizi berkata, hanya parti yang mempunyai tiga atau lebih ahli Parlimen merupakan penandatangan perjanjian pakatan itu.

Tambah Menteri Ekonomi itu, penandatangan perjanjian pakatan itu ialah Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan.

"Mesyuarat itu hanya untuk penandatangan perjanjian. Walaupun Muda sebahagian Kerajaan Perpaduan, hanya parti yang mempunyai tiga atau lebih ahli Parlimen adalah penandatangan (perjanjian)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Pemantauan Ekonomi Malaysia ke-27 diterbitkan Bank Dunia bertajuk 'Expanding Malaysia's Digital Frontier' pada Khamis.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan, Setiausaha Agung Muda, Amir Abd Hadi meluahkan rasa terkilan kerana tidak diundang menghadiri mesyuarat pertama berkenaan menerusi ciapannya di Twitter.

Amir menjelaskan tidak menerima sebarang jemputan termasuk menerusi surat, mesej atau e-mel.

Amir juga berharap sedikit taklimat diberikan kepada mereka bagi membolehkan partinya yang kini menjadi sebahagian kerajaan mengetahui sedikit perkembangan hasil dari mesyuarat berkenaan.

Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan kali pertama dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dihadiri semua pemimpin parti membentuk Kerajaan Perpaduan telah selesai berlangsung pada Selasa.